Wednesday, June 10, 2009

Muktamar Menolak Kepimpinan Nik Aziz

Di antara calon-calon daripada Kelantan yang bertanding dalam Muktamar PAS ke 55 baru-baru ini ialah Husam Musa (untuk jawatan Timbalan Presiden), Nik Mohd Amar (untuk jawatan Naib Presiden), Takiyudin, Anuar Tan, Wan Abd Rahim, Abd Halim Abd Rahman (untuk jawatan AJK Pusat). Keputusannya, semua nama yang disebut tadi telah tewas bagi jawatan-jawatan yang mereka tandingi kecuali Kamarudin Jaafar yang memenangi jawatan AJK Pusat mungkin kerana beliau tidak sangat dilihat mewakili Kelantan kerana beliau adalah mantan Setiausaha Agung PAS yang lebih bersifat nasional.

Sebelum Muktamar, Tok Guru Nik Aziz sanggup melanggar janji beliau dengan Tuan Guru Presiden apabila secara terbuka telah menyokong Husam dan berkempen untuk beliau bagi memenangi jawatan Timbalan Presiden. Tok Guru pernah menyebut bahawa beliau yakin orang yang bersama-sama dengan beliau di Kelantan selama 20 tahun akan menang dalam muktamar nanti (hanya Husam yang bersama beliau selama 20 tahun). Tok Guru juga secara terbuka menyebut bahawa beliau menyokong golongan Erdogan di Malaysia dan kenyataannya itu disiarkan di muka hadapan akhbar Sinar Harian. Sehinggalah sehari sebelum muktamar, Tok Guru Nik Aziz telah bersetuju menandatangani satu surat pengakuan bahawa beliau akan mengundi Husam keesokan harinya kerana halatuju Husam yang jelas. Kesemuanya itu secara jelas menunjukkan bahawa Husam adalah calon Tok Guru untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Tetapi, impian Tok Guru Nik Aziz untuk melihat anak didiknya menang tidak kesampaian. Husam tewas. Ya, Husam tewas teruk. Perwakilan sudah tidak menghormati pandangan Tok Guru lagi. Perwakilan sudah tidak begitu mempedulikan apa yang Tok Guru nak cakapkan. Perwakilan menolak saranan Tok Guru tentang kewibawaan anak didiknya itu. Untuk menjadikan suasana lebih teruk lagi, perwakilan telah menolak kesemua calon-calon daripada kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Tok Guru Nik Aziz. Melihat kepada situasi itu, boleh juga kita simpulkan bahawa perwakilan muktamar menolak kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Kenapakah begitu sekali penolakan perwakilan muktamar terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Aziz. Apakah mesej yang mereka cuba sampaikan kepada Tok Guru Nik Aziz?

Mungkinkah perwakilan melihat bahawa Tok Guru Nik Aziz sudah tidak relevan lagi dengan halatuju PAS sekarang ini.
Mungkinkah perwakilan sudah meluat melihat Tok Guru Nik Aziz selalu mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Tuan Guru Presiden.
Mungkinkah perwakilan ingin menyedarkan Tok Guru Nik Aziz bahawa beliau hanyalah Mursyidul Am parti yang tidak boleh mengeluarkan arahan sesuka hati kerana beliau bukanlah kuasa eksekutif parti seperti yang dimiliki oleh Tuan Guru Presiden.
Mungkinkah perwakilan sudah bosan melihat Tok Guru Nik Aziz diguna dan diperkudakan oleh Husam dan Anuar Bakri untuk kepentingan politik peribadi mereka.
Mungkinkah juga perwakilan lebih suka melihat Tok Guru Nik Aziz berehat daripada dunia politik.


Elok juga sekiranya dicadangkan kepada Tok Guru Nik Aziz supaya mengambil cuti yang panjang untuk berehat dan bermuhasabah dan juga memikirkan hikmah disebalik penolakan perwakilan muktamar ke atas kepimpinan beliau.
Mungkin sudah sampai masanya Tok Guru Nik Aziz menumpukan masanya untuk menjaga kesihatan jantungnya. Mungkin juga sudah sampai masa Tok Guru Nik Aziz untuk memberikan lebih masanya kepada keluarga dan anak cucunya.Mungkin juga sudah sampai masanya untuk beliau melepaskan kesemua jawatan dalam parti dan kerajaan untuk memberi laluan kepada mereka yang lebih muda dan berkelayakan.

Fikirlah wahai Tok Guru yang kami sayangi sebelum secubit sisa-sisa hormat yang ada pada perwakilan sekarang ini hilang dan lenyap begitu sahaja. Fikirlah sebelum terlambat...sebelum nasi menjadi bubur.

_

1 comment:

Anonymous said...

Mungkin legasi PAS Kelantan sudah xrelevan, TG perlu memikirkan hal Manohara...