Tuesday, May 31, 2011

UNTUK MEMPERTAHANKAN KEPIMPINAN ULAMA KEKALKAN GANDINGAN TGHA-NASHA

Muktamar Pas ke 57 di Taman Melawar pada 3-5 Jun, 2011 dikatakan muktamar yang paling panas dalam sejarah PAS. Pemilihan pimpinan tertinggi PAS kali ini adalah yang paling sengit menyaksikan pertandingan dihampir kesemua jawatan tertinggi parti kecuali Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Ulama.

Muktamar kali ini juga merupakan penentu kepada halatuju parti. Nasib kepimpinan ulama yang menjadi kebanggan PAS sekian lama sejak 1980 akan ditentukan dalam muktamar kali ini. Samada kekal atau bakal berakhir. Mengikut tafsiran Dewan Ulama PAS dan Majlis Syura, maksud kepimpinan ulama dalam PAS adalah Presiden, Timbalan Presiden dan seorang Naib Presiden mestilah dikalangan ulama (mempunyai latarbelakang pengajian agama secara khusus).

Logiknya, apabila berlaku sesuatu kepada presiden seperti kematian, maka Timbalan akan memangku dan sekiranya berlaku sesuatu kepada pemangku presiden maka naib presiden dikalangan ulama akan memangku. Ini jelas kerana PAS ialah PARTI ISLAM dan juga JAMAAH ISLAMIYAH yang mengkehendaki presidennya mestilah dikalangan orang yang memahami agama dengan mendalam, boleh mentafsir AlQuran dan Hadis dan mempunyai Syakhsiyah Islamiyyah Kamilah supaya beliau dapat memandu jamaah ini supaya sentiasa berada di atas manhaj perjuangan nabi agar Allah sentiasa memelihara dan memberkati jamaah ini.

Persoalan ini saya rasa amat mudah untuk difahami oleh kebanyakan perwakilan PAS. Tetapi yang menjadi masalah dalam pemilihan kali ini ialah apabila berlaku pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Timbalan Presiden yang mana dua daripadanya terdiri daripada golongan ulama. Ini menyebabkan kebanyakan perwakilan menjadi serba salah dan keliru, yang mana satu perlu di beri undi antara mengekalkan yang sedia ada atau memilih yang baru.

Ada pandangan mengatakan – yang pentingnya kita tolak calon yang bukan ulama dan pilihlah antara dua ulama tersebut, yang mana satu tak kisah, yang penting ulama. Saya merasakan pandangan sebegini adalah salah dan ianya akan memberi kemenangan yang mudah kepada calon bukan ulama apabila pecahnya undi dikalangan golongan ulama.
Untuk memastikan kepimpinan ulama dalam PAS terus dipertahankan, perwakilan mestilah bulat dan bersatu memilih satu di antara dua tokoh ulama. Dan pilihan yang paling mudah ialah mengekalkan gandingan yang ada kerana selama ini dengan gandingan tersebutlah PAS menjadi mantap, disegani dan mula mendapat perhatian semua kaum dalam dan luar negara. Lagipun tidak ada satupun alasan syarak yang ada yang boleh digunakan untuk menurunkan gandingan yang sedia ada.

Saya teringat pesan Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz yang pernah mengatakan bahawa seseorang pemimpin itu hanya perlu ditukar bila dia melanggar syarak dan melakukan dosa.

Beringatlah, sekiranya undi ulama pecah, maka bersedialah untuk melihat kempimpinan ulama PAS bakal berakhir dan seseorang yang diragui akhlak dan aqidahnya akan menguasai kepimpinan tertinggi parti.

APA SALAH UST NASA?

1. SALAH Ust Nasa kerana Ust Fadhil Nor mengangkat beliau menjadi Setiausaha Agung PAS pada usia yang begitu muda sewaktu beliau menjadi exco pemuda pusat. Hinggakan beliau tidak sempat untuk bertapak dimana2 kawasan dan sanggup meninggalkan jawatan pensyarah semata-mata berkhidmat sepenuh masa dengan parti. Ramai pimpinan parti yang tidak bersetuju dengan langkah Ust Fadhil tersebut dan ramai juga yang iri hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh AlMarhum Ust Fadhil Nor kepada Ust Nasa.

2. SALAH Ust Nasa kerana mengikut arahan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura yang mengkehendaki beliau bertemu dan berbincang dengan UMNO mengenai kedudukan PAS selepas PRU12.

3. SALAH Ust Nasa kerana memikul, menjunjung dan melaksanakan titah presiden mengenai Kerajaan Perpaduan.

4. SALAH Ust Nasa kerana beliau digelar “ejen UMNO” oleh Mursyidul Am yang tidak mendapat maklumat yang tepat.

5. SALAH Ust Nasa kerana dia tidak begitu pandai berjubah dan berserban seperti presiden dan mursyidul am.

6. SALAH Ust Nasa kerana karakternya yang cepat mesra dan baik dengan semua orang termasuk rakan dan lawan hinggakan musuh politik pun menyukai keperibadian beliau.

7. SALAH Ust Nasa kerana perwatakan beliau yang mudah didekati oleh sesiapa itu turut dihormati dan disegani oleh tokoh-tokoh korporat negara sehingga PAS banyak mendapat sumbangan dana melalui beliau.

8. SALAH Ust Nasa kerana tidak memilih untuk hidup zuhud dan susah seperti Tokguru Nik Aziz. Beliau memilih untuk hidup senang berdasarkan kemampuan seperti yang ditunjukkan oleh Sheikh Yusuf AlQardawi. Mungkin ramai orang tidak berkesempatan melawat rumah Syeikh Yusuf di Qatar.

9. SALAH Ust Nasa kerana penguasaan bahasa Arab dan bahasa Inggeris beliau yang amat baik hinggakan beliau lebih disukai gerakan Islam antarabangsa berbanding tokoh parti yang lain.

10. SALAH Ust Nasa kerana media alternatif seperti Malaysiakini, MalaysianInsider dan para blogger tidak begitu menyukai beliau. Secara terancang mereka menggelapkan liputan mengenai Ust Nasa.

11. SALAH Ust Nasa kerana dipinggirkan media rasmi parti sendiri seperti akhbar harakah dan harakahdaily kerana beliau tidak pandai membodek pengarang dan wartawan harakah macam pimpinan yang lain.

12.SALAH Ust Nasa kerana beliau tidak mengikut trend semasa yang memilih pemimpin berdasarkan publisiti bukannya kualiti. Sekarang orang menilai pemimpin berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan di dalam media atas sesatu isu dan bukan lagi ilmu, wibawa diri dan gerak kerja yang dilakukan. Sebab itulah bila pemimpin itu banyak bercakap, maka dia dilihat buat kerja.