Tuesday, May 31, 2011

UNTUK MEMPERTAHANKAN KEPIMPINAN ULAMA KEKALKAN GANDINGAN TGHA-NASHA

Muktamar Pas ke 57 di Taman Melawar pada 3-5 Jun, 2011 dikatakan muktamar yang paling panas dalam sejarah PAS. Pemilihan pimpinan tertinggi PAS kali ini adalah yang paling sengit menyaksikan pertandingan dihampir kesemua jawatan tertinggi parti kecuali Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Ulama.

Muktamar kali ini juga merupakan penentu kepada halatuju parti. Nasib kepimpinan ulama yang menjadi kebanggan PAS sekian lama sejak 1980 akan ditentukan dalam muktamar kali ini. Samada kekal atau bakal berakhir. Mengikut tafsiran Dewan Ulama PAS dan Majlis Syura, maksud kepimpinan ulama dalam PAS adalah Presiden, Timbalan Presiden dan seorang Naib Presiden mestilah dikalangan ulama (mempunyai latarbelakang pengajian agama secara khusus).

Logiknya, apabila berlaku sesuatu kepada presiden seperti kematian, maka Timbalan akan memangku dan sekiranya berlaku sesuatu kepada pemangku presiden maka naib presiden dikalangan ulama akan memangku. Ini jelas kerana PAS ialah PARTI ISLAM dan juga JAMAAH ISLAMIYAH yang mengkehendaki presidennya mestilah dikalangan orang yang memahami agama dengan mendalam, boleh mentafsir AlQuran dan Hadis dan mempunyai Syakhsiyah Islamiyyah Kamilah supaya beliau dapat memandu jamaah ini supaya sentiasa berada di atas manhaj perjuangan nabi agar Allah sentiasa memelihara dan memberkati jamaah ini.

Persoalan ini saya rasa amat mudah untuk difahami oleh kebanyakan perwakilan PAS. Tetapi yang menjadi masalah dalam pemilihan kali ini ialah apabila berlaku pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Timbalan Presiden yang mana dua daripadanya terdiri daripada golongan ulama. Ini menyebabkan kebanyakan perwakilan menjadi serba salah dan keliru, yang mana satu perlu di beri undi antara mengekalkan yang sedia ada atau memilih yang baru.

Ada pandangan mengatakan – yang pentingnya kita tolak calon yang bukan ulama dan pilihlah antara dua ulama tersebut, yang mana satu tak kisah, yang penting ulama. Saya merasakan pandangan sebegini adalah salah dan ianya akan memberi kemenangan yang mudah kepada calon bukan ulama apabila pecahnya undi dikalangan golongan ulama.
Untuk memastikan kepimpinan ulama dalam PAS terus dipertahankan, perwakilan mestilah bulat dan bersatu memilih satu di antara dua tokoh ulama. Dan pilihan yang paling mudah ialah mengekalkan gandingan yang ada kerana selama ini dengan gandingan tersebutlah PAS menjadi mantap, disegani dan mula mendapat perhatian semua kaum dalam dan luar negara. Lagipun tidak ada satupun alasan syarak yang ada yang boleh digunakan untuk menurunkan gandingan yang sedia ada.

Saya teringat pesan Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz yang pernah mengatakan bahawa seseorang pemimpin itu hanya perlu ditukar bila dia melanggar syarak dan melakukan dosa.

Beringatlah, sekiranya undi ulama pecah, maka bersedialah untuk melihat kempimpinan ulama PAS bakal berakhir dan seseorang yang diragui akhlak dan aqidahnya akan menguasai kepimpinan tertinggi parti.

No comments: