Sunday, June 21, 2009

Benarkah ini Muslimat PAS?

Siapakah gerangan muslimat yang duduk sebelah Tan Sri Khalid Ibrahim? Kelihatan begitu mesra duduk berhimpit-himpit. Suami isterikah mereka? Sekali tengok macam kenal. Rasa-rasanya macam Ahli Parlimen Kota Raja. Benarkah dia? Rasa-rasanya dialah muslimat yang tewas YDP Kawasan, tewas AJK Muslimat Pusat, tewas AJK Pusat, ditolak oleh ahli dan perwakilan muktamar…tapi atas ehsan Ketua Muslimat di lantik sebagai Ketua Penerangan Muslimat dan atas belas ehsan Tuan Guru Presiden dilantik sebagai AJK Tambahan.


Benarkah dia mewakili muslimat PAS yang sentiasa memperjuangkan akhlak dan syakhsiyah seorang muslimah. Biasanya muslimat PAS kebal dengan sifat malu yang diajar oleh Nabi dalam pergaulannya. Biasanya muslimat PAS begitu menjaga “aurat” dan kehormatan dirinya dengan kental. Tetapi apa sudah jadi dengan Ketua Penerangan Muslimat PAS ini. Apa sudah jadi dengan AJK PAS Pusat ini?


Tidak malukah beliau duduk berhimpit-himpit bersentuh badan dengan seorang lelaki yang bukan suaminya? Tidak terfikirkah beliau yang suaminya akan terdetik perasaan cemburu melihat beliau yang duduk begitu akrab dengan lelaki lain? Tidak adakah tempat lain untuk beliau duduk didalam majlis tersebut? Tidak bolehkah beliau sekurang-kurangnya merenggangkan jaraknya dengan lelaki yang bukan mahramnya demi menjaga kehormatan dirinya sebagai seorang muslimah?


Kalaulah perlakuan ini sudah halal dilakukan oleh seorang pimpinan Pusat, maka apa lagi yang tinggal untuk diajar dan ditarbiyah kepada Muslimat dan Nisa yang lain.


Inilah harga yang kita bayar untuk mencapai cita-cita politik.


_

Thursday, June 18, 2009

Perpaduan Ahli PAS, UMNO dalam Barisan satu nekmat besar - Nik Aziz


Dahulu Tok Guru Nik Aziz adalah seorang ulama yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan perdamaian. Tetapi sekarang...banyak amalannya bercanggah dengan apa yang beliau selalu ajarkan didalam kuliah-kuliahnya. Marilah sama-sama kita do'akan Tok Guru Nik Aziz mendapat husnul khatimah - kesudahan yang baik. Amin.

_

Tuesday, June 16, 2009

Tok Guru Nik Aziz Bermuqabalah Dengan Lee Kuan Yew


Kadang-kadang saya agak pelik dan hairan dengan sikap dan pandangan Tok Guru Nik Aziz akhir-akhir ini. Beliau kelihatan tidak begitu konsisten dengan pandangannya. Pengamatannya tidak setajam dulu. Pembacaan politiknya semakin mendatar. Kritikannya semakin terbabas. Beliau seperti hilang kawalan. Sedih melihat Tok Guru hari ini tidak sama dengan Tok Guru dahulu.

Tidakkah Tok Guru sedar siapakah sebenarnya Lee Kuan Yew. Tidakkah Tok Guru membaca sejarah, apa yang telah Lee Kuan Yew lakukan terhadap umat Islam di Singapura? Tidakkah pembantu-pembantu Tok Guru menceritakan kepada Tok Guru tentang nasib umat Islam di Singapura kesan daripada dasar pemerintahan Lee Kuan Yew.

Sedih melihat umat Islam di Singapura. Seolah-olah dilakukan "ethnic cleansing" terhadap mereka. Orang Islam dipinggirkan. Hak mereka diabaikan. Suara mereka ditumpulkan. Mereka dianak tirikan. Mereka tidak berpeluang berpolitik secara sama rata. Kelibat mereka tidak dibenarkan memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Pergerakan mereka sentiasa dipantau.

Akhirnya cara hidup kebanyakan umat Islam Singapura tidak ada bezanya dengan kaum dan penganut agama lain. Itulah hasil kerja keras dan dasar pemerintahan Lee Kuan Yew yang ingin melihat umat Islam di sana hidup mengikut acuan mereka. Tidak keterlaluan jika kita labelkan Lee Kuan Yew sebagai agen yahudi/zionis di Asia Tenggara yang sentiasa memantau pergerakan gerakan Islan di rantau ini. Lee Kuan Yew juga menyokong secara terbuka kerajaan Israel/Yahudi di Palestin dan beliau sentiasa memberi sokongan ke atas tindakan kejam tentera Israel ke atas umat Islam di sana.

Kalaulah orang yang terang-terang menentang Islam dan menyokong Yahudi sebegini boleh dialu-alukan oleh Tok Guru Nik Aziz (sehingga sanggup menunjukkan isyarat tanda "bagus"), kenapa sikap yang sama tidak boleh dipakai ke atas UMNO? Kalaulah dengan Lee Kuan Yew Tok Guru boleh bermuqabalah, kenapa kalau dengan UMNO, sebut pun dah macam berdosa? Kenapa Tok Guru tak tunggu Lee Kuan Yew mengubah dasarnya kepada Islam dulu baru boleh jumpa?

Beringatlah wahai Tok Guruku...janganlah sampai kebencian terhadap sesuatu kaum/kumpulan itu menyebabkan Tok Guru menggadaikan prinsip ukhuwwah dan mahabbah sesama jamaah dan menutup pintu dakwah kepada hamba-hamba Allah yang memerlukannya.

_

Thursday, June 11, 2009

Ahmad Awang : Ulama E-Class

Dalam Muktamar ke 55 di Shah Alam baru-baru ini, perwakilan daripada Wilayah Persekutuan dalam ucapannya ketika membahaskan ucapan dasar telah menggunakan istilah “Ulama E-Class”. Saya tidak tahu maksud sebenar beliau dan kepada siapa yang beliau tuju. Kalau beliau bercakap pasal ada ulama yang mempunyai kereta Mercedez E-Class, saya pasti ramai dikalangan ulama kita yang mempunyainya. Mungkin beliau cemburu kerana tiada pekerjaan ataupun tidak mampu memilikinya. Janganlah pula disalahkan kepada orang yang mampu memilikinya sebab tidak haram memilikinya sekiranya anda mampu dan selagi sumbernya halal. Yang menjadi permasalahan disini ialah ada juga dikalangan ulama kita yang tiba-tiba sahaja mampu memilikinya walaupun dia bangkrap. Mari kita ikuti kisah mantan pesuruhjaya PAS Perak yang agak mengujakan.


Ust Ahmad Awang ketika menjadi Pesuruhjaya Pas Perak dan Naib Presiden PAS, tidak dapat bertanding dalam pilihanraya ke 12 yang lalu kerana beliau adalah seorang yang bankrap atau muflis. Beliau telah berjumpa dengan beberapa tokoh korporat untuk meminta belas ehsan mereka untuk menyelesaikan hutangnya sebelum pilihanraya tetapi tidak ada siapa yang nak tolong beliau pada ketika itu. Maka kempunanlah beliau untuk bertanding dalam PRU12 dan lebih kempunan lagi apabila Pakatan Rakyat dapat memerintah di Perak dan beliau terpaksa bersetuju untuk melantik Setiausaha PAS Perak ketika itu untuk menjadi Menteri Besar Perak.


Peluang memerintah Perak menunjukkan warna sebenar bekas tokoh Persatuan Ulama Malaysia ini. Tidak sampai beberapa bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak ataupun lebih khusus lagi, tidak sampai beberapa bulan Mohd Nizar menjadi Menteri Besar Perak, Ust Ahmad Awang telah bertukar gaya hidupnya. Beliau kelihatan begitu bergaya sekali dengan Mercedez E-Class berserta pemandunya sekali. Hairan juga, bagaimana seorang yang bankrap, tidak ada pekerjaan, bukan ADUN, bukan juga Ahli Parlimen, tetapi dapat memiliki Mercedez E-Class dan dapat menggajikan seorang pemandu. Hebat sungguh cerita Ahmad Awang dengan pemandunya. Hinggakan pemandunya pun tidak tahan dengan karenah Ahmad Awang yang kadang-kadang hari minggu pun kena suruh beli roti canai untuk beliau. Biasala, orang tak pernah ada pemandu. Mungkin dia ingat pemandu tu macam kuli batak dia sahaja.


Walaubagaimanapun, pemandu itu bukanlah isunya. Isunya, bagaimana seorang ustaz bankrap boleh memiliki Mercedez E-Class hanya selepas beberapa bulan PR memerintah Perak. Jawapannya mudah…tanya la Ahmad Awang sendiri. Ataupun boleh tanya Nizar. Tidak pun boleh juga tanya Husam Musa. Tanyalah Husam bagaimana dia mengajar Nizar dan Ahmad Awang untuk mengaut hasil balak di Perak bagi mengenyangkan kantung mereka sendiri. “Orang berbudi kita berbahasa.”


Maka tidak hairanlah kenapa Ust Ahmad Awang, mantan Pesuruhjaya Perak, mantan Naib Presiden PAS beralih arah memuja dan memuji Husam melangit hinggakan sanggup berburuk sangka terhadap “rakan ulama” beliau yang lain di dalam Majlis Syura. Bahkan beliau sanggup menggadaikan prinsip ukhuwwah Islamiyah yang dituntut oleh Rasulullah di dalam jamaah untuk membenci “3 orang” di dalam pimpinan PAS sekarang ini gara-gara Husam juga membenci mereka. Bahkan beliau juga sanggup melihat konsep kepimpinan ulama Pas tergadai asalkan orang yang berjasa mengenyangkan beliau dapat memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS.


Begitulah murahnya maruah dan harga diri seorang ulama macam Ahmad Awang. Senang dibeli dengan harta benda. Maka selayaknyalah beliau tidak lagi memimpin PAS.


Mungkin juga beliau sudah dapat merasakan yang beliau akan kalah sekiranya beliau bertanding juga jawatan Naib Presiden PAS kerana 2 tahun dahulu pun beliau tidak menang dengan selesa. Untuk menyelamatkan air mukanya, maka lebih eloklah beliau menarik diri awal-awal lagi.


Saya kira, semua perwakilan mengalu-alukan langkah Ahmad Awang untuk mengundurkan diri dari memimpin PAS kerana itulah langkah yang terbaik untuknya. Saya juga berkira-kira bahawa Ahmad Awang pasti akan menutup tirai kepimpinannya di dalam PAS dengan baik dan dengan kata-kata nasihat yang berguna untuk semua perwakilan yang akan dapat dimanfaat untuk kestabilan parti dan untuk dikenang sampai bila-bila. Tetapi, sayangnya harapan tidak menjadi kenyataan. Ahmad Awang memilih untuk membuka ruang fitnah yang lebih besar di dalam jamaah.


Beliau secara terbuka didalam ucapan penangguhan terakhirnya di dalam muktamar telah menuduh ada seseorang daripada pimpinan pusat “mengarahnya” supaya PAS Perak dapat bekerjasama dengan UMNO di Perak selepas pilihanraya ke-12 yang lepas. Benarkah tuduhan tersebut? Siapakah pimpinan tersebut? Berasaskah tuduhan tersebut? Bolehkah “seorang pimpinan” memberi arahan? Takkanlah beliau tidak tahu bahawa “seseorang pimpinan” tidak boleh mengeluarkan arahan sedemikian melainkan setelah disyurakan atau diluluskan didalam mesyuarat. Mungkin juga kalau adapun bukannya “arahan” tetapi lebih kepada “nasihat” untuk memberi beberapa pilihan ijtihad politik kepada PAS Perak.


Apakah motif beliau dengan ucapan sedemikian yang seolah-olah memberi bola tanggung kepada musuh-musuh Islam untuk memecahbelahkan PAS. Pokoknya, beliau telah melontarkan bom jangka ke dalam PAS. Dan membiarkan ahli Pas dan juga media meneka-neka dan menuduh-nuduh siapakah gerangan pimpinan yang dimaksudkan oleh Ahmad Awang tersebut. Maka terjebaklah ahli Pas ke dalam lubuk fitnah yang direka oleh beliau. Dan sudah pastinya beliau akan dikenang sampai bila-bila sebagai pengadu domba dan pencetus kepada ruang fitnah yang boleh mengakibatkan PAS berpecah. Maka bergembiralah musuh-musuh Islam melihat PAS berpecah gara-gara perbuatan seorang “Ulama E-Class”.


_

Wednesday, June 10, 2009

Muktamar Menolak Kepimpinan Nik Aziz

Di antara calon-calon daripada Kelantan yang bertanding dalam Muktamar PAS ke 55 baru-baru ini ialah Husam Musa (untuk jawatan Timbalan Presiden), Nik Mohd Amar (untuk jawatan Naib Presiden), Takiyudin, Anuar Tan, Wan Abd Rahim, Abd Halim Abd Rahman (untuk jawatan AJK Pusat). Keputusannya, semua nama yang disebut tadi telah tewas bagi jawatan-jawatan yang mereka tandingi kecuali Kamarudin Jaafar yang memenangi jawatan AJK Pusat mungkin kerana beliau tidak sangat dilihat mewakili Kelantan kerana beliau adalah mantan Setiausaha Agung PAS yang lebih bersifat nasional.

Sebelum Muktamar, Tok Guru Nik Aziz sanggup melanggar janji beliau dengan Tuan Guru Presiden apabila secara terbuka telah menyokong Husam dan berkempen untuk beliau bagi memenangi jawatan Timbalan Presiden. Tok Guru pernah menyebut bahawa beliau yakin orang yang bersama-sama dengan beliau di Kelantan selama 20 tahun akan menang dalam muktamar nanti (hanya Husam yang bersama beliau selama 20 tahun). Tok Guru juga secara terbuka menyebut bahawa beliau menyokong golongan Erdogan di Malaysia dan kenyataannya itu disiarkan di muka hadapan akhbar Sinar Harian. Sehinggalah sehari sebelum muktamar, Tok Guru Nik Aziz telah bersetuju menandatangani satu surat pengakuan bahawa beliau akan mengundi Husam keesokan harinya kerana halatuju Husam yang jelas. Kesemuanya itu secara jelas menunjukkan bahawa Husam adalah calon Tok Guru untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Tetapi, impian Tok Guru Nik Aziz untuk melihat anak didiknya menang tidak kesampaian. Husam tewas. Ya, Husam tewas teruk. Perwakilan sudah tidak menghormati pandangan Tok Guru lagi. Perwakilan sudah tidak begitu mempedulikan apa yang Tok Guru nak cakapkan. Perwakilan menolak saranan Tok Guru tentang kewibawaan anak didiknya itu. Untuk menjadikan suasana lebih teruk lagi, perwakilan telah menolak kesemua calon-calon daripada kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Tok Guru Nik Aziz. Melihat kepada situasi itu, boleh juga kita simpulkan bahawa perwakilan muktamar menolak kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Kenapakah begitu sekali penolakan perwakilan muktamar terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Aziz. Apakah mesej yang mereka cuba sampaikan kepada Tok Guru Nik Aziz?

Mungkinkah perwakilan melihat bahawa Tok Guru Nik Aziz sudah tidak relevan lagi dengan halatuju PAS sekarang ini.
Mungkinkah perwakilan sudah meluat melihat Tok Guru Nik Aziz selalu mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Tuan Guru Presiden.
Mungkinkah perwakilan ingin menyedarkan Tok Guru Nik Aziz bahawa beliau hanyalah Mursyidul Am parti yang tidak boleh mengeluarkan arahan sesuka hati kerana beliau bukanlah kuasa eksekutif parti seperti yang dimiliki oleh Tuan Guru Presiden.
Mungkinkah perwakilan sudah bosan melihat Tok Guru Nik Aziz diguna dan diperkudakan oleh Husam dan Anuar Bakri untuk kepentingan politik peribadi mereka.
Mungkinkah juga perwakilan lebih suka melihat Tok Guru Nik Aziz berehat daripada dunia politik.


Elok juga sekiranya dicadangkan kepada Tok Guru Nik Aziz supaya mengambil cuti yang panjang untuk berehat dan bermuhasabah dan juga memikirkan hikmah disebalik penolakan perwakilan muktamar ke atas kepimpinan beliau.
Mungkin sudah sampai masanya Tok Guru Nik Aziz menumpukan masanya untuk menjaga kesihatan jantungnya. Mungkin juga sudah sampai masa Tok Guru Nik Aziz untuk memberikan lebih masanya kepada keluarga dan anak cucunya.Mungkin juga sudah sampai masanya untuk beliau melepaskan kesemua jawatan dalam parti dan kerajaan untuk memberi laluan kepada mereka yang lebih muda dan berkelayakan.

Fikirlah wahai Tok Guru yang kami sayangi sebelum secubit sisa-sisa hormat yang ada pada perwakilan sekarang ini hilang dan lenyap begitu sahaja. Fikirlah sebelum terlambat...sebelum nasi menjadi bubur.

_

Tuesday, June 9, 2009

Masa Depan Politik Husam

Alhamdulillah, Muktamar PAS ke 55 telah berakhir dengan jayanya dan merupakan penganjuran muktamar yang paling hebat setakat ini. Tetapi yang lebih utama, Allah telah menyelamatkan PAS daripada anasir-anasir yang bakal merosakkan PAS dan Kepimpinan Ulama PAS tetap terpelihara.

Pada pemilihan kali ini, Dato' Husam Musa telah tewas dalam percubaan pertamanya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PAS daripada penyandang jawatan tersebut YB Ust Nasharudin Mat Isa. Beliau hanya mendapat 281 undi berbanding Ust Nasharudin yang berjaya mendapat 480 undi. Manakala Sdr Mohamad Sabu mendapat 261 undi. Sebaik sahaja diumumkan tewas, Husam kelihatan tidak dapat mengawal emosi apabila cuba untuk turun daripada pentas utama selepas bersalaman dengan Ust Nasharudin. Nasib baik Dato' Mustafa Ali yang berada di situ bertindak cepat untuk melarangnya berbuat demikian.

Hakikatnya Husam dan pengikutnya tidak dapat menerima kekalahan tersebut walaupun beliau dan pengikutnya berusaha untuk berlakon yang mereka menerima dengan hati yang terbuka.
Mereka tidak menjangkakan yang Husam akan kalah sebegitu teruk. Menurut jentera kempen Husam yang dibayar dengan agak lumayan, 'head count' yang dibuat ke atas setiap perwakilan seluruh negara menunjukkan yang beliau akan memperolehi sekurang-kurangnya 470 undi. Lebih-lebih lagi setelah mereka berjaya di saat-saat akhir memperdaya Tok Guru Nik Aziz untuk menandatangani satu surat yang mengesahkan bahawa Tok Guru akan mengundi Husam keesokan harinya. Habis dijaja kepada perwakilan "atas pagar" bahawa tok Guru akan mengundi Husam. Namun usaha tersebut sia-sia. Husam kalah jua.

Walaupun Husam cuba menutup kekecewaannya dan cuba berlakon yang beliau menerima dengan hati yang terbuka, tetapi hakikatnya Husam bukanlah pelakon yang hebat. Ini dapat dilihat apabila beliau dengan nada kecewa terus menyalahkan pimpinan PAS yang tidak memahami beliau sebagai punca kekalahannya.

Untuk menyedapkan hati masing-masing, pengikut-pengikutnya membuat andaian bahawa Ust Nasharudin sebenarnya ditolak oleh majoriti perwakilan apabila hanya mendapat lebih kurang 46% undi sahaja daripada jumlah keseluruhan perwakilan. Manakala selebihnya 54% daripada perwakilan adalah menentang beliau (apabila dicampur undi yang diperolehi oleh Husam dengan Mohamad Sabu). Tetapi itu adalah andaian kosong untuk menyedapkan hati semata-mata.

Kalaupun hanya berlaku pertembungan satu lawan satu antara Husam dengan Ust Nasharudin, belum tentu 261 undi yang diperolehi oleh Mohamad Sabu akan pergi kepada Husam sepenuhnya. Mungkin juga kesemuanya akan pergi kepada Ust Nasharudin. Atau mungkin juga separuh daripadanya akan mengundi Ust Nasharudin. Siapa yang tahu? Tidak ada siapa yang tahu. Itu hanyalah andaian dan analisis dangkal pengikut-pengikut fanatik Husam Musa yang tidak bersekolah. Hakikatnya, Ust Nasharudin menang dan Husam kalah. Ya, Husam kalah teruk. Ya, kepimpinan Husam ditolak oleh majoriti perwakilan yang bermuktamar. Belajarlah untuk menerima kenyataan walaupun pahit.

Namun yang jelas kelihatan, mereka sukar menerima kenyataan. Di sebelah malamnya berhimpunlah golongan yang gah di gelar Erdogan ini di satu Restoran di Shah Alam untuk membincangkan masa depan politik ketua mereka yang telah tewas. Secara syura mereka bersetuju untuk mendesak dan memberi tekanan kepada Presiden untuk melantik semula Husam dan Mohamad Sabu ke dalam Dewan Harian. Sekurang-kurangnya Husam mestilah dilantik sebagai Bendahari dan Mohamad Sabu sebagai Ketua Penerangan. Mereka akan cuba mengugut bahawa Husam tidak akan terima apa-apa jawatan kalau setakat menjadi AJK biasa sahaja.

Begitulah langkah-langkah golongan terdesak untuk menyelamatkan ketua mereka yang telah tersungkur di medan perang dan terkulai layu. Mengharapkan sisa-sisa ihsan Presiden untuk menerimanya kembali walau ditolak oleh majoriti perwakilan.Kasihan Husam.

Kalau dalam UMNO, Shahrir Samad bila tewas terus meletakkan jawatan sebagai Menteri bagi menunjukkan sikap gentlemannya setelah ditolak oleh perwakilan UMNO. Kalau dalam PAS, sanggupkah Husam menunjukkan sikap gentlemannya dengan meletakkan jawatan EXCO Kelantan setelah ditolak oleh perwakilan? Jawapannya sudah tentu tidak. Kerana Husam bukan Shahrir Samad, Husam bukan gentleman, Husam tidak ada maruah diri. Mana mungkin Husam akan meletakkan jawatan EXCO Kelantannya, sedangkan jawatan dalam Dewan Harian dan AJK Pusat pun beliau terkial-kial merayu budak suruhannya seperti Mahfuz Omar meminta bagi pihaknya.

Kasihan Husam...ditolak oleh perwakilan dalam Muktamar PAS tetapi gila talak untuk kembali memimpin PAS. Bagaimanakah masa depan politik Husam? Jawapannya hanya ada pada Allah SWT untuk menentukan nasibnya.

Yang pentingnya...PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI


.

Tuesday, June 2, 2009

Calon-calon Pilihan Presiden

Kalau kumpulan erdogan mempunyai senarai calon-calon pilihan mereka, maka perlulah perwakilan diberitahu senarai calon manakah pula yang menjadi pilihan Presiden yang kelak akan dapat bekerjasama dengan rapat dengan beliau.

Calon-calon pilihan Presiden inilah nanti yang akan melonjak dan menyerlahkan bakat kepimpinan Tuan Guru Hj Hadi yang selama ini sentiasa dibendung oleh puak-puak Erdogan.
Calon-calon inilah juga nanti yang akan dapat memimpin jamaah kita secara amal jama'i dan yang akan sentiasa dinaungi oleh semangat mahabbah dan ukhuwwah Islamiyah, bukannya bercakaran dan saling tuduh menuduh sesama sendiri.

Dan apabila PAS dipimpin oleh mereka-mereka yang benar-benar ikhlas dan yang sentiasa memberi wala' dan siqah mereka kepada Presiden, maka barulah kita akan mendapat barakah dan pertolongan Allah yang tidak putus-putus dan bakal digeruni oleh setiap musuh.

Kita hanya akan kuat apabila kita bersatu dan bergerak dengan saf yang tersusun rapat di antara satu sama lain.

Calon-calon yang dilihat menjadi pilihan Presiden adalah seperti berikut :

TIMBALAN PRESIDEN

1. Nasharudin Mat Isa, YB Ustaz'


NAIB PRESIDEN


1. Nik Mohd Amar Nik Abdullah, YB Dato' Ustaz ’
2. Salahuddin Ayub, YB
3. Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato’ Ustaz



AHLI JAWATANKUASA KERJA

1. Azizan Abd Razak, YAB Dato’ Seri Ustaz

2. Hasan Mohd Ali , YB Dato' Dr Hj

3. Takiyuddin Hassan, YB Dato’

4. Idris Haji Ahmad, Ustaz Haji

5. Hashim Jasin, YB Ustaz Haji

6. Abu Bakar Chik, Dato’ Ustaz Haji

7. Abdul Halim Abdul Rahman, YB Dato’ Ustaz Haji

8. Mohamad Nizar Jamaluddin, YAB Dato' Seri Ir

9. Mohd Abdul Wahid Endut, YB Hj

10. Ab Ghani Abdul Rahman, Ustaz Haji

11. Abdul Ghani Samsudin, Ustaz Haji

12. Taib Azamudden Md Taib, YB Ustaz Haji

13. Iskandar Abdul Samad, YB Ir

14. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ustaz Haji

15. Mazlan Aliman, Sdr

16. Mohd Anuar Tahir, Hj

17. Wan Hasrina Bt Wan Hassan, Hjh

18. Zulkefly Mohamad Omar, Hj



Semoga PAS terus dipimpinan oleh Kepimpinan Ulama dan mereka yang benar-benar mendokong kepimpinan ulama. Bukan mereka-mereka yang menjadi kaki dan tangan kepada anasir luar yang ingin merosakkan parti.

Mereka merancang. Allah juga merancang. Dan Allah lah sebaik-baik perancang.

.

Calon-calon Pilihan Erdogan

Saya baru menerima sms yang saya percaya sedang disebarluaskan kepada perwakilan berkenaan calon-calon pilihan 2009-2011. Melihat kepada senarai berkenaan saya pasti ianya mewakili golongan-golongan yang dipanggil Erdogan di dalam PAS.

Terbuktilah ramalan bahawa mereka bergerak secara berkumpulan dan terancang untuk menguasai PAS dan ingin menjadikan Tuan Guru Hj Hadi sebagai Presiden Boneka mereka sahaja, yang kerjanya hanya meng"endorse" kehendak mereka semata-mata.

Nama-nama yang dikemukakan majoritinya tidak boleh berkerja dengan Tuan Guru Presiden. Malah majoriti mereka selalu memperlekehkan Presiden sendiri samada didalam atau diluar mesyuarat.

Jelas kelihatan bahawa mereka (dan juga yang berada diluar PAS) teralu terdesak untuk menguasai PAS melalui kumpulan ini.

Berhatilah-hatilah terhadap sms sebegini :

"Calon2 Pilihan 2009-2011 Tim Pres: Dtk HUSAM MUSA NaibPres: Dato MAHFUZ OMAR, Dato Tn IBRAHIM Tn MAN, SALAHUDDIN AYOB. (AJK): 1.Us AB GHANI RAHMAN 2.Dtk Ir AMIRUDDIN HAMZAH 3.Dr. DZULKEFLY AHMAN 4. HAMZAH ABDULLAH 5.Dtk KAMARUDIN JAFAR 6.Yb KHALID ABD SAMAD 7.Dr LO'LO' 8. Dtk Sri MOHAMAD NIZAR 9.Sdr MOHAMED HANIPA 10.Us DR HAMZAH JAFFAR (Phg) 11.Dr HATTA MD RAMLI 12.Dr SITI MARIAH MAHMUD 13.Dr SYED AZMAN 14.Us TAIB AZAMUDDEN 15.Dtk WAN ABD RAHIM 16.Dtk Sri Us AZIZAN ABD RAZAK 17.Ust AB GHANI SHAMSUDIN 18. Us IDRIS HJ AHMAD"

Kasihan Tuan Guru Hj Hadi kalau senarai ini yang memenangi dalam pemilihan kali ini. Nescaya diperkudakan Presiden mengikut telunjuk mereka semata-mata selama 2 tahun sebelum Presiden pula ditendang keluar.

Begitulah bila hawa nafsu menguasai diri, ilmu tidak setinggi mana, kepimpinan Ulama hendak diketepikan, pangkat dan jawatan menjadi rebutan. Alamat lingkuplah jamaah yang sekian lama dibedung dan di jaga dengan rapi oleh pewaris nabi-nabi.

Tok Guru Nik Aziz Mungkir Janji?

Mursyidul Am, Tok Guru Nik Aziz katanya telah sama-sama berjanji dengan Presiden, Tuan Guru Hj Hadi bahawa kedua-dua mereka tidak akan menyatakan sokongan secara terbuka kepada mana-mana calon dalam pemilihan kali ini. Walaupun sebenarnya kita boleh mengagak bahawa Tok Guru Nik Aziz lebih suka Husam dan Tok Guru Hj Hadi lebih suka Ust Nasharudin.

Langkah itu dipercayai dibuat untuk mengelakkan berlakunya perpecahan di kalangan ahli-ahli PAS. Dan saya percaya langkah tersebut adalah langkah yang paling bijak dan amat sesuai dengan suasana semasa.

Sebab itulah kita melihat Tuan Guru Hj Hadi begitu jarang mengeluarkan kenyataannya berkenaan muktamar. Hinggakan bila wartawan bertanya kepadanya apakah Ust Nasharudin menjalankan tugas dengan baik sebagai Timbalannya - beliau enggan menjawab dengan alasan tidak mahu berkempen. Begitulah ketegasan Presiden PAS yang kita sanjungi.

Tetapi saya amat terkejut apabila membaca akhbar Sinar Harian Edisi KL hari ini (02/06/09). Di muka hadapan tertera tajuk "Nik Aziz Sokong Erdogan PAS". Dan dihalaman N6, secara jelas Tok Guru Nik Aziz menyatakan sokongannya kepada golongan Erdogan di dalam PAS. Umum juga mengetahui bahawa Husam Musa lah yang selalu digelar golongan Erdogan di dalam PAS.

Apa sudah jadi dengan janji bersama Tok Guru Nik Aziz dengan Tuan Guru Presiden. Adakah ianya dimungkiri. Saya masih ingin bersangka baik dengan Tok Guru Nik Aziz. Mungkin beliau terpengaruh lagi dengan pembantu-pembantu beliau yang senantiasa melakukan kerja-kerja bodoh di dalam PAS.

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

10. Husam Percaya dan Beramal Dengan Amalan Khurafat


Percaya kepada tahyul dan beramal dengan amalan khurafat adalah dosa besar disisi Islam dan boleh membawa kapada dosa syirik kepada Allah.


Tetapi, masih ramai juga ahli politik terutamanya pemimpin UMNO yang percaya kepada amalan sebegini (seperti bomoh, tahyul dan khurafat) untuk cepat naik dalam kancah politik. Tentu kita masih ingat kisah Mona Fendi yang mendedahkan begitu ramai tokoh politik UMNO yang menggunakan servis mereka.


Kita tidak hairan kalau perkara sebegini menjadi amalan dan kepercayaan pemimpin UMNO. Tetapi kalau ianya di percayai dan diamalkan oleh pemimpin PAS, kita pasti terkejut dan sukar nak percaya.


Tetapi inilah realitinya. Diberitakan Husam begitu mempercayai dan beramal dengan amalan-amalan sedemikian. Beliau memang diketahui beramal dengan amalan tariqat (saya kurang pasti tariqat apa). Dan kebanyakan tariqat adalah sesat.


Yang paling mengejutkan saya ialah, saya mendapat tahu bahawa Husam pernah (bukan sekali) mandi bunga di kubur! Entah untuk tujuan apa. Tetapi untuk tujuan apa sekalipun ia tetap haram dan menyesatkan.


Kenapakah sampai begitu sekali? Yang pastinya amalan tersebut adalah satu bentuk khurafat yang ditolak oleh Islam. Siapakah yang mengajarnya? Tok Guru manakah yang diikutinya. Saya tak percaya Tok Guru Nik Aziz akan bersetuju dengan amalan sedemikian.


Saya tidak mahu percaya, tetapi bahan bukti berbentuk gambar sudah cukup untuk mengesah dan membuktikannya.


Bertaubatlah Husam sebelum terlambat. Dan kepada perwakilan muktamar, sudah menjadi wajib kepada anda untuk menolak calon sebegini daripada memimpin sebuah Parti Islam.



.

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

9. Husam Amalkan Rasuah Dan Politik Wang


Bila Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ust Mat Iraq bercakap tentang politik wang dan amalan rasuah tentu ada sebabnya. Mengenali tokoh ilmuwan ini, beliau tidak pernah bercakap tanpa ada asas yang kukuh. Dan hairan pula kerana yang paling kelam kabut dengan kenyataan tersebut ialah Husam. Teringat dengan pepatah “sesiapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya”.


Baru-baru ini tersebar meluas satu sms yang menjemput pimpinan kawasan dan perwakilan untuk menghadiri majlis dialog dengan calon Timbalan Presiden, Husam Musa di Batu Gajah, Perak. Dan peserta yang menghadiri majlis dialog tersebut telah dijamu dengan makan malam. Budaya siapakah yang Husam nak bawa ini? Bukankah ini budaya UMNO? Bukankah berkempen dengan menjamu orang makan seperti itu adalah rasuah kerana mengharapkan undi mereka?


Saya juga mendengar Husam memperuntukkan sejumlah wang yang mencecah jutaan ringgit untuk menggerakkan jentera kempennya keseluruh Malaysia termasuk membayar blogger-blogger upahan untuk berkempen untuknya dan memfitnah lawannya. Segala maklumat detail setiap perwakilan diperolehi dan culaan kepala dibuat ke atas setiap perwakilan. Perancangan dan penyusunan mereka ini seolah-olah mereka ingin berlawan dengan musuh seperti UMNO/BN dalam pilihanraya umum.


Begitu juga apabila akhbar Sinar Harian edisi KL menyiarkan kenyataan Tok Guru Nik Aziz yang kononnya kenyokong kumpulan Erdogan, Husam dan orang-orangnya telah membeli akhbar tersebut secara borong sebanyak 10,000 naskah dan diedarkan keseluruh Malaysia terutamanya kepada perwakilan muktamar.


Budaya apakah ini? Budaya apakah yang Husam sedang amalkan dan bawa masuk ke dalam PAS sekarang ini? Bukankah ini budaya rasuah dan politik wang yang selama ini kita cerca dan keji. Tetapi sekarang ini telah mula menular dan merebak kedalam parti kita. Sedih, amat menyedihkan.


.

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

8. Husam Pemecahbelah Parti


Pertandingan merebut jawatan dalam PAS sepatutnya menjadi pertandingan antara adik beradik dan dibuat dalam suasana mahabbah dan ukhuwwah. Itulah yang diajar sekian lama kepada ahli-ahli PAS.


Tetapi kali ini nampak ketara perbezaan suasana yang kita alami. Husam sedari awal pengumuman untuk bertanding telah membawa budaya asing ke dalam PAS. Tidak pernah berlaku dalam sejarah PAS pengumuman untuk bertanding dibuat di hadapan para wartawan melalui sidang akhbar. Itu budaya UMNO, itu budaya Shafie Afdal, itu budaya Zahid Hamidi dan sekarang telah menjadi budaya Husam dan Mahfuz.


Dan yang lebih menyedihkan dalam sidang akhbar tersebut beliau seolah-olah telah melancarkan serangan peribadi terhadap Ust Nasharudin. Beliau dengan selamba memfitnah yang Ust Nasa “too liberal” dengan UMNO dan “unacceptable”.


Sepatutnya kalau Husam betul-betul ingin menjaga semangat ukhuwwah dan mahabbah sesama ahli jamaah, beliau tidak perlu melakukan serangan peribadi terhadap lawannya. Cukup sekadar beliau menyatakan visi dan misinya kalau beliau dipilih menjadi Timbalan Presiden, nescaya ahli dan perwakilan akan memahaminya.


Dan selepas itu di dalam mana-mana majlis kempen samada tertutup atau terbuka (yang juga menjadi budaya baru dalam PAS), beliau tidak pernah jemu menyebut dan memfitnah bahawa Ust Nasharudin akan membawa PAS kepada UMNO. Pastinya ahli dan perwakilan yang menyokong Ust Nasharudin akan terluka dan marah dan tak akan berdiam diri. Dan pastinya perbuatan tersebut akan memecahbelahkan saf jamaah.


Dan yang paling menyedihkan lagi, saya mendengar bahawa dalam Mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada hari ini (02/06/09), Husam terang-terang menyebut sekiranya beliau terpilih menjadi Timbalan Presiden PAS nanti, beliau akan menganjurkan satu majlis untuk menolak kertas kerja yang dibentangkan oleh Ust Haron Din dalam Konvensyen Kepimpinan Ulama baru-baru ini. Husam juga menyebut akan mengambil tindakan termasuk memecat keahlian Ust haron Din dan Dato Mustafa Ali kerana kononnya mereka berdualah menjadi dalang UMNO di dalam PAS.


Jika beginilah sikap dan perangai calon Timbalan Presiden PAS, nescaya PAS akan berpecah belah dan Kepimpinan Ulama yang kita pertahankan selama ini akan berkubur sekiranya beliau menang. Maka akan bersuka rialah UMNO dan musuh-musuh Islam kelak.



.

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

7. Husam Menjadi Budak Suruhan Anwar


Kira-kira 2 minggu yang lepas, Husam bertemankan Saifudin Nasution pergi berMUQABALAH dengan Dato’ Sahlan, Setiausaha Politik Dato Najib, Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya. Untuk pengetahuan semua Sahlan bukan orang PAS, bukan orang PKR dan bukan DAP – dia ahli UMNO. Boleh pula pergi berunding dengan orang UMNO? Mandat mana pula yang dia dapat? Apakah tujuan rundingan tersebut?


Katanya Husam pergi bertemu dengan Sahlan dengan tujuan untuk berbincang tentang nasib yag bakal dihadapi oleh Anwar Ibrahim apabila kes liwatnya didengar dalam bulan Julai nanti. Husam dihantar oleh Anwar kununnya untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kes liwat tersebut diluar mahkamah.


Apa dah jadi ni? Begitu murahkah pimpinan PAS dipergunakan oleh Anwar Ibrahim. Sebab itu tidak hairanlah mengapa Husam merujuk kepada Anwar terlebih dahulu sebelum bersetuju bertanding menentang Usta Nasharudin. Dan tidak hairan juga kenapa Anwar begitu bersungguh-sungguh membantu Husam agar dapat memenangi pertandingan tersebut nanti.


Rasionalnya, kalau Husam menjadi Timbalan Presiden PAS, mudahlah untuk Anwar menggunakan PAS untuk berunding tentang nasib kes liwat beliau memandangkan hanya PAS yang mempunyai “bargaining power” dengan kerajaan UMNO/BN.



.

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

6. Husam Tidak Menjaga Adab Dan Akhlaq Islam


Sesiapa mengenali Husam secara dekat akan memahami bahawa Husam tidaklah begitu baik PR (public relation) nya. Beliau lebih suka meyendiri dan kurang beradab bila bermesyuarat. Biasanya kalau bermesyuarat, beliau akan datang lewat dan keluar awal. Dan dalam mesyuarat beliau jarang memberi perhatian, kadang-kadang membelek akhbar, kadang-kadang membelek Al-Quran tanpa memberi perhatian sewajarnya. Mungkin dia rasa mesyuarat tu membuang masanya kerana baginya yang hadir tu tak sama taraf dengan pemikirannya yang terlebih advance.


Husam bukanlah jenis yang mudah didekati. Sesiapa yang tidak mengenali beliau pasti akan kata dia sombong. Biasanya dia hanya melayan dengan baik orang-orang yang dia ada kepentingan sahaja.


Sewaktu kecoh isu Debat Husam & Zahid, maka terserlahlah perangai Husam yang sebenar kepada orang-orang yang belum mengenali beliau. Kebanyakan pekerja yang berada di studio TV3 pada hari berkenaan terkejut melihat perangai Husam yang pada mulanya mereka sanjung.


Apabila Husam datang ke studio tempohari dengan Nazri Gerak beliau disuruh secara baik oleh Prof Agus untuk meneruskan debat dengan Ezam. Tetapi Husam dengan ego dan keras kepalanya memperlekehkan Ezam dan meminta Nazri Gerak menggantikan tempat beliau seolah-olah TV9 tu bapa dia yang punya.


Selepas Husam beredar, Prof Agus berpesan kepada Nazri Gerak supaya jangan mencontohi perangai Husam yang baginya sombong dan angkuh.


Ezam juga menunjukkah sms yang beliau terima daripada Husam pada awalnya yang memarahi beliau kerana menerima pelawaan untuk berdebat. Diantara kata-kata Husam dalam sms tersebut ialah “barua”.


Beginikah contoh akhlaq seorang pemimpin Islam? Amat memalukan.



.

Monday, June 1, 2009

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

5. Husam Gagal Di Kelantan


Seorang pemimpin yang berkesan, bukan hanya sekadar hebat ber-retorik ataupun berteori sahaja. Tetapi yang lebih penting dia mesti membuktikan dia mampu melaksanakan dan menjelmakan teorinya dalam bentuk kenyataan. Memberi idea tidak susah, berteori memang mudah, sesiapa sahaja boleh melakukannya. Tetapi melaksanakan idea tersebut hingga berjaya adalah satu perkara yang bukan mudah.


Pensyarah ekonomi boleh memberi 1001 teori ekonomi dan perniagaan, tetapi belum tentu dia akan berjaya kalau dia sendiri berniaga atau mengusahakannya.


Begitulah apa yang berlaku kepada Husam. Sebagai EXCO, beliau memang kelihatan terlalu banyak idea dan hebat berteori di Kelantan. Tetapi kebanyakan ideanya separuh masak atau sekerat jalan dan berakhir dengan kegagalan atau kerugian kepada kerajaan negeri.


Projek kambing jamnapari misalnya, memang idea Husam asalnya. Beliau begitu bersungguh-sungguh untuk menjayakannya sehingga mendahului Exco Pertanian. Pada awalnya, beliau menguruskannya bersendirian bersama rakan-rakanya tanpa pengetahuan Exco Pertanian. Tapi akhirnya bila projek tersebut gagal (disebabkan lebih banyak kambing yang mati daripada yang hidup), beliau cuba meletakkan kesalahan ke atas Exco pertanian.


Begitu juga dengan projek Skim Takaful Kifalah. Begitu hebat dicanangkan satu Malaysia tentang skim yang diasaskan oleh Husam itu. Hampir di setiap negeri dia menjual namanya dengan menjaja skim tersebut untuk menunjukkan kehebatan ideanya. Ramai yang kagum dengan peranan Husam dengan skim tersebut.


Tetapi akhirnya projek tersebut gagal dan mengalami kerugian hampir RM8 juta. Tok Guru Nik Aziz sendiri bersama-sama Exco yang lain tengah pening memikirkan bagaimana hendak mencari wang bagi menampung kerugian tersebut.


Dalam arena politik pun, Husam tidak kurang hebatnya berstrategi. Idea untuk membenarkan Ibrahim Ali bertanding atas tiket PAS adalah idea beliau. Tok Guru Nik Aziz bersetuju setelah Husam berjaya meyakinkan beliau dari segi strategi politik yang kononnya akan menguntungkan PAS. Akhirnya , apa dah jadi? Apa untung yang PAS dapat daripada Ibrahim Ali? Akhirnya Ibrahim Ali pun Husam dah tinggal bila sikatak tu tak habis-habis mengkritik PAS dan PR.


Itulah dia Husam Musa yang begitu hebat dengan ideanya tapi selalu berakhir dengan kegagalan dan kerugian.


Saya tidak fikir kita memerlukan kepimpinan sebegini.


Kalau ditanya sebahagian besar daripada kepimpinan PAS di Kelantan, Husam bukanlah calon popular untuk menggantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai MB Kelantan. Sebab itulah Tok Guru Niz Aziz tak dapat menjadikan Husam sebagai Timbalan Menteri Besar hingga ke hari ini. TokGuru sedar kalau beliau melantik Husam sebagai Timbalannya nescaya akan berpecah PAS Kelantan. Kalau dah nak dilantik sebagai Timbalan MB pun tak boleh, apatah lagi sebagai MB nanti.


Calon yang lebih popular untuk menjadi MB nanti ialah Dato' Nik Amar yang lebih dilihat mampu mewarisi bakat kepimpinan Tok Guru Nik Aziz baik dari segi ilmu dan amalannya. Beliau lebih dihormati di Kelantan berbanding Husam.


Dalam Perhubungan PAS Negeri pun Husam tidak kuat pengaruhnya. Biasanya beliau tidak banyak bercakap dalam Mesyuarat Perhubungan Negeri atau Dewan Harian kerana beliau tahu majoriti tidak suka kepadanya. Tokoh-tokoh besar PAS Kelantan seperti Dato Abdul Halim, Dato' Takiyudin,Ust Mat Iraq, Dato Nik Amar, Dato Ahmad Yaakob dll adalah di lihat tidak begitu menyukai Husam dan selalu tidak bersetuju dengan Husam dalam banyak hal.


Sebab itu tidak hairan mengapa Husam tidak mendapat pencalonan yang solid daripada negeri Kelantan sendiri untuk jawatan Timbalan Presiden PAS.


Kalau di Kelantan pun Husam dah gagal, bagaimana kita dapat mengharap dia dapat memimpin dengan baik di pusat? Takutnya dia akan membawa "penyakit" negeri ke pusat.


.

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

4. Husam Tidak Mampu Memimpin Keluarga


Di dalam mafhum hadis, kita adalah pemimpin untuk diri kita, keluarga dan masyarakat. Dan kita bertanggungjawab ke atas apa yang kita pimpinkan. Kalau diri sendiri gagal dipimpin nescaya akan gagallah memimpin keluarga. Dan kalau keluarga gagal dipimpin, maka akan gagallah memimpin masyarakat.


Husam beruntung dikurniakan 7 orang anak. Dan lebih beruntung lagi kerana ketujuh-tujuhnya adalah anak lelaki. Tetapi tidak tahu dimana silapnya sehingga anaknya yang sulung pernah menjadi seorang penagih dadah. Dan katanya sehingga sekarang masih menerima rawatan di Indonesia.


Kalaulah keluarga sendiri, Husam gagal memimpin dan mendidik dengan baik, bagaimanakah nanti untuk memimpin dan mendidik jutaan ahli?


Saya tidak suka mendedahkan hal-hal peribadi sebegini dikhalayak. Tetapi apabila anda menawarkan diri untuk memimpin sebuah gerakan Islam – anda sebenarnya membuka ruang untuk diri anda dikoreksi oleh ahli yang ingin anda pimpin. Supaya kelak, ahli tidak tersalah memilih pemimpin.


.