Sunday, May 31, 2009

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

2. Husam Biasa Menipu


Menipu adalah perkara biasa bagi ahli politik. Dan ianya menjadi sebahagian daripada dasar politik Machievelli, iaitu “Matlamat Menghalalkan Cara”. Kononnya kalau menipu boleh mencapai matlamat kita, maka dibolehkan menipu.


Mungkin Machievelli mendapat idea ini daripada pegangan “Takiyah” orang-orang Syiah? Yang ini mungkin Saudara Mohamad Sabu, Blogger Penarik Beca dan Blogger Faisal Tehrani ataupun mungkin Aris Awang boleh menjawab dengan detail.


Walaubagaimana sekalipun, menipu atau berbohong adalah amalan orang-orang munafiq di sisi Islam dan merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar.


Kalau menipu untuk maslahat umum tu saya tidak tahu hukumnya. Tapi kalau Presiden sendiri dia boleh tipu, ini adalah bertentangan dengan akhlak Islam dan berdosa besar.


Biarlah saya buat pengakuan disini : “Wallahi Wabillahi Watallahi, saya mendengar sendiri daripada mulut Tuan Guru Hj Hadi bahawa Husam penipu dan biasa berbohong padanya”


Mungkin pada waktu itu Presiden merujuk kepada perbincangan Husam dengan Tengku Razaleigh sewaktu Ku Li nak bertanding jawatan Presiden UMNO pada tahun lepas. Ya, Husam memang pergi berjumpa dengan Ku Li dan membuat beberapa tawaran kepada Ku Li termasuk nak angkat Ku Li sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.


Begitu juga kisahnya apabila Tuan Guru Presiden bercakap tentang "Kerajaan Perpaduan" atau "Unity Government". Sebenarnya sebelum Tuan Guru Presiden melontarkan ideanya tentang Kerajaan Perpaduan, beliau terlebih dahulu menjelaskan dengan terperinci ideanya itu kepada Lujnah Politik dan AJK Pusat yang turut dihadiri oleh Husam. Tetapi apabila ada ahli kita bertanya Husam berkenaan idea tersebut, beliau dengan selamba menjawab dia tidak tahu menahu, Presiden hanya memandai sendiri. Tidakkah itu menipu namanya? Sepatutnya sebagai Naib Presiden beliau wajib membantu dan mendokong idea Presiden, bukan menempelak sedemikian rupa.


Begitulah Husam, menipu dan berbohong sudah menjadi amalan hidupnya .



3. Husam Tidak Serasi Dengan Presiden


Husam sedang berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa beliau amat serasi dengan Presiden. Tetapi benda yang tidak betul bukan senang untuk dibuat-buat. Kerana hakikatnya memang Husam tidak serasi dengan Presiden.


Tuan Guru Presiden bukannya pekak ataupun tuli sehingga tidak mendengar apa yang Husam "cakap-cakap" berkenaan dirinya. Sesiapa yang rapat dengan Husam akan selalu mendengar kritikan dan sindirin Husam terhadap Presiden yang baginya tidak mampu memimpin. Kalau Presiden sendiri diperlekehkan, bagaimana nak kata dia serasi dengan Presiden dan boleh membantu Presiden dengan berkesan?


Dalam STAR hari ini (01/06/09), Joceline Tan menulis lagi. Joceline Tan dikenali sebagai wartawan yang amat rapat dan begitu intim dengan Husam. Mungkin sampai peringkat Joceline Tan lebih mengetahui luar dan dalam Husam lebih daripada ahli PAS sendiri. Sebab itulah saya tidak hairan bagaimana Joceline Tan selalu mendapat maklumat terperinci berkenaan hal-hal dalaman parti. Kalau beliau membuat liputan berkenaan Mesyuarat Dewan Harian Pusat atau Mesyuarat AJK Pusat, beliau menulis seolah-olah beliau hadir di dalamnya dan mengetahui setiap inci isi mesyuarat.


Dalam nada terdesak kerana takut Husam kalah dalam pertandingan Timbalan Presiden (kerana mungkin baginya kalau Husam kalah, habislah sumber maklumat dalamannya), Joceline Tan menulis dan mengesahkan bahawa Tuan Guru Presiden lebih suka dan serasi dengan Ust Nasharudin seperti berikut :


"It is no secret, party President Datuk Seri Hadi Awang is also partial to Nasharudin although he has kept an "elegant silence", so to speak."


Jadi, kalau dah tahu bahawa Presiden tak suka dan tak serasi dengan beliau mengapa terhegeh-hegeh berkehendakkan jawatan Timbalan Presiden. Atau mungkinkah Husam mempunyai idea dan perancangan lain yang lebih besar untuk pemilihan 2 tahun yang akan datang?? Berhati-hatilah..


.

Saturday, May 30, 2009

Layakkah Mohamad Sabu Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

Sebelum saya sambung cerita tentang Husam, biarlah saya ulas sedikit tentang seorang lagi calon Timbalan Presiden PAS, iaitu saudara Mohamad Sabu yang sekarang ini begitu sibuk berkempen terutamanya disebelah Johor. Macam-macam cerita saya dengar daripada kawasan-kawasan di Johor yang melaporkan Bang Mat buat fitnah macam-macam ke atas penyandang jawatan itu sekarang. Saya amat berharap laporan-laporan itu tidak benar.

Saya tidak pasti apa puncanya yang menyebabkan Bang Mat tiba-tiba begitu teringinkan jawatan Timbalan Presiden PAS. Tidak dinafikan bahawa beliau adalah seorang aktivis yang paling berani dan lantang menentang UMNO/BN. Ceramahnya menghiburkan bak penglipur lara atau seperti Tok Awang Batil menghiburkan orang-orang kampung selepas penat bersawah dan berkebun.

Mungkin selepas beliau kalah di parlimen Kuala Trengganu dan mempunyai banyak masa lapang, beliau gunakan semaksima mungkin untuk turun berceramah disetiap ceruk kawasan. Pantang dijemput berceramah, Bang Mat jarang menolak. Ini menyebabkan beliau agak rapat dengan kebanyakan kawasan dan memahami hasrat akar umbi.

Tetapi itu bukanlah bermakna kita terus layak untuk menjadi Timbalan Presiden yang bakal mengantikan Presiden nanti. Kita mesti pandai mengukur baju dibadan sendiri. Khalid Alwalid juga hebat dimedan tempur, tetapi beliau tidak pernah bercita-cita atau berusaha untuk menduduki jawatan Khalifah. Salman AlFarisi hebat dengan idea-idea dia dan amat rapat dengan oang-orang Parsi, tetapi dia juga tidak pernah cuba berebut jawatan Khalifah.

Ketokohan Bang Mat memang diperlukan didalam PAS tetapi bukan sebagai Timbalan Presiden yang akan menggantikan Presiden nanti. Kita kena tahu setakat mana siling kita. Takut kalau panjat juga kita akan jatuh terus ke bawah.

Sewaktu menyemak arkib Tranungkite, saya terjumpa satu artikel lama yang memperincikan mengapa Bang Mat tak layak untuk menjadi pimpinan PAS. Saya tak kata semuanya betul tapi banyak juga yang boleh dipakai.

Saya siarkan kembali artikel tersebut di sini :


10 DALIL KENAPA MOHD SABU TIDAK LAYAK MENJADI PIMPINAN PAS


Oleh : Abu Ezzadi


1. PEGANGAN/AMALAN SYIAH


Mohd Sabu dikenali ramai sebagai salah seorang yang begitu meminati dan mengkagumi perjuangan Hizbullah di Lubnan dan revolusi Islam Iran sejak dari dulu lagi. Minat, sokongan dan kecenderungan beliau diterjemahkan dengan kerapnya beliau berkunjung ke Lubnan dan Tehran dan seringkali menggunakan contoh perjuangan mereka di dalam ceramahnya. Namun sedarkah kita bahawa minat, sokongan dan kecenderungan beliau telah mula bertukar kepada pegangan agama dan aqidah? Tanyalah beliau tentang aqidah ataupun amalan orang Syiah, nescaya beliau akan dapat menghuraikannya dengan panjang lebar dan begitu terperinci. Tanyalah orang-orang syiah di Malaysia nescaya mereka akan menganggap Sdr. Mohd Sabu adalah sebahagian daripada mereka. Mungkin atas sebab itulah kita jarang melihat beliau solat jamaah bersama-sama kita. Malah diakui oleh pimpinan peringkat tertinggi bahawa mereka juga tidak pernah melihat beliau solat jamaah bersama (walaupun diimamkan oleh Tn Guru Hj Hadi). Dan yang lebih malang sekali, beliau telah mula menyebarkan fahaman ini kedalam parti, terutamanya ke atas golongan pemuda kita. Pernah dilaporkan apabila beliau membawa petugas-petugas Kuala Kedah melawat Thailand, mereka telah berhenti solat dimasjid-masjid yang dikenali ramai sebagai masjid orang syiah di sana.


Mungkin ada yang masih ingat beberapa siri demonstrasi di hadapan keduataan Amerika Syarikat dan Wisma Denmark sewaktu ketika dahulu. Ingatkah anda ada satu golongan syiah yang datang membawa sepanduk dan poster besar Imam Khomeini/Khameini sambil membaca selawat cara Iran dengan lahjah Iran. Dan tahukah anda bahawa semua itu ditaja oleh Sdr. Mohd Sabu dan di dalam kelompok tersebut juga terdapat beberapa pemuda PAS daripada Kuala Kedah!


Bukan setakat itu sahaja, malah ahli-ahli perhubungan negeri P.Pinang dan kebanyakan jawatankuasa kawasan di Pulau Pinang juga telah mula diresapi pengaruh syiah. Mereka cukup kagum dengan Mohd Sabu dan syiahnya.


Secara nyata Mohd Sabu telah menggunakan pengaruh dan jawatannya untuk mengembangkan ajaran dan pegangan syiah dikalangan ahli PAS. Sebab itulah tidak hairan kenapa beliau kerap berkunjung ke Lubnan dan Tehran dan seringkali beliau membawa ahli-ahli kita dan pemuda bersama-samanya. (Kadangkala kita tertanya-tanya daripada mana mereka memperolehi wang yang banyak untuk kerap berkunjung ketempat tersebut.) Dan seringkali juga beliau menolak dan mengelak untuk melawat ke Lubnan dan Tehran bersama-sama pimpinan PAS yang lain, kerana mungkin dikhuatiri tembelangnya akan pecah.


Suasana ini bukan lagi menjadi rahsia kepada ahli dan pimpinan PAS yang lain. Semoga satu tindakan yang tegas dapat diambil untuk membendung gejala ini yang kalau tidak disekat akan menjadi barah dan nanah yang bisa memecahbelahkan perpaduan di dalam Parti.


2. MENYAMAKAN PIMPINAN PAS DENGAN UMNO


Di dalam Ijtimak Jihad Pemuda PAS Kedah, sewaktu memberikan ucapannya, Sdr. Mohd Sabu telah menyamakan Pimpinan PAS dengan UMNO melalui kata-katanya :


Sekarang perangai pemimpin PAS dengan UMNO sama. Beza di antara Pemimpin PAS dengan Pemimpin UMNO 3 perkara sahaja - pemimpin PAS tak minum arak, pemimpin PAS tak berzina, pemimpin PAS tak main judi. Lain pada tu sama! Berebut harta, rasuah, nepotisme, pembaziran… sama!


Ucapan dan tindakan ini amat keterlaluan. Sekiranya ianya datang dari ahli UMNO mungkin masih boleh diterima dek akal walaupun biadap. Dan sekiranya datang dari ahli PAS memang sah biadap dan tidak ada wala’ terhadap pemimpin. Tetapi, apa yang menyedihkan, ianya datang dari seorang pemimpin PAS sendiri yang berjawatan Naib Presiden – suatu jawatan yang amat tinggi yang sudah menggambarkan pemimpin pelapis dan masa depan PAS. Cuba kita bayangkan wajah Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Nasharudin, Hussam Musa, Dato’ Hassan Ali, Ust Harun Taib dll, adakah wajah mereka sama seperti yang digambarkan oleh Sdr Mohd Sabu? Apakah mereka berebut harta, mereka rasuah atau mereka nepotisme? Astaghfirullah…. Kalau kita bercakap mengenai pemimpin UMNO, ada logiknya juga, kebanyakannya sudah ada bukti mahupun pertuduhan/perbicaraan. Tetapi, dengan menuduh kepimpinan ulama PAS sedemikian rupa tanpa sebarang bukti, adalah suatu dosa yang sukar diampunkan.


Apa sudah jadi dengan Sdr. Mohd. Sabu sehingga beliau sanggup dan tergamak untuk meletakkan taraf pemimpin PAS begitu rendah dan hina, serendah dan sehina pemimpin UMNO. Ataupun, mungkin juga pemimpin PAS yang beliau maksudkan itu adalah diri beliau sendiri?


3. PENGGUNAAN BAHASA YANG TIDAK MENCERMINKAN AKHLAK ISLAM


Tidak dapat dinafikan bahawa beliau adalah ‘crowd puller’ bagi PAS. Ceramah beliau seringkali mendapat sambutan orang ramai, baik ahli PAS mahupun UMNO. Tetapi seringkali juga ceramah beliau menjadi fitnah kepada PAS. Umum mengetahui, beliau sentiasa nampak hebat dengan gaya bahasa yang kasar dan kesat, kadangkala mencarut dan selalunya mencerca dan memaki pihak lawan sesuka hati. Ramai orang suka (terutamanya ahli PAS) tetapi terlebih ramai yang benci dan meluat (terutamanya dikalangan orang awam dan ahli UMNO). Sebab itulah beliau dilarang berceramah di kebanyakan tempat yang menjadi kubu kuat UMNO termasuk di dalam beberapa pilihanraya kecil kerana dikhuatiri menjadi fitnah kepada parti dan ramai orang akan lari dari mengundi pembangkang. Ceramah beliau bukan membawa kepada kesedaran Wa’i Islam ataupun pembentukan Syakhsiyah Islamiyah tetapi hanya menyemai dan menyubur perasaan benci dan marah kepada mereka-mereka yang sepatutnya menjadi mad’u kepada kita.


4. FITNAH KEPADA IMEJ ISLAM


Sesungguhnya kita memerlukan saf kepimpinan yang mencerminkan akhlak dan syakhsiyah Islam supaya jamaah kita senantiasa berada di atas landasan yang betul dalam mengejar suruhan dan keredhaan Allah. Janganlah disebabkan oleh hanya seorang yang tak sepatutunya berada di dalam saf kepimpinan, Allah tidak merahmati jamaah dan parti kita. Sebab itulah kalau kita perhatikan sirah dan sejarah perjuangan golongan terdahulu, mereka amat menitikberatkan soal akhlak dan syakhsiyah pemimpin. Mana-mana pemimpin yang ada walau “syubhah” dalam peribadi dirinya akan ditolak dan diturunkan daripada jawatannya.


Kalau hendak mencungkil dan mendedahkan segala cela keperibadian Sdr. Mohd Sabu, dikhuatiri akan memalukan dan mengaibkan diri kita sendiri. Cukuplah kita mengingati kembali peristiwa khalwat beliau sewaktu menjadi ahli Parlimen di Kelantan. Kes tersebut walaupun dibuang oleh Mahkamah Syariah atas sebab-sebab teknikal, semua orang tahu tentang kebenarannya. Kalau tidak masakan Al Marhum AlFadhil Ust Fadhil Nor memarahi beliau “pasai apa nak pi cari penyakit”…. dengan membenarkan perempuan bukan muhram memasuki bilik hotel beliau??


5. KEHIDUPAN MEWAH


Beliau seringkali menyarankan kita didalam ceramahnya supaya sentiasa hidup sederhana. Tetapi sayangnya beliau sendiri tidak dapat melakukan apa yang disarankannya sendiri. Mungkin kita boleh bertanyakan beliau tentang rumah banglo di Bukit Merah, sebuah kereta Naza Ria dan sebuah kereta Perdana – apakah ini corak hidup sederhana yang dimaksudkan? Dalam keadaan beliau tidak ada pendapatan tetap, bagaimana mungkin beliau dapat memperolehi kesemuanya itu? Bayangkanlah kehidupan “sederhana” yang bagaimana beliau akan zahirkan sekiranya PAS memerintah dan beliau adalah salah seorang daripada Menteri Kabinet?? Patutlah beliau menyamakan pimpinan PAS dangan UMNO kerana rupa-rupanya pimpinan PAS yang beliau maksudkan itu adalah diri beliau sendiri!


6. KUAT MELOBI & BERMAIN POLITIK


Tidak salah untuk dipilih sebagai pemimpin. Tetapi, jika sehingga lobi melobi, mengatur strategi dan menyusun langkah semata-mata untuk memastikan kemenangan diri sendiri, ini adalah sesuatu yang menjengkelkan dan merupakan amalan yang tak dapat diterima sama sekali bagi sebuah Jamaah/Parti Islam. Sepatutnya usaha dan tenaga ditumpukan untuk kemenangan parti bukannya kemenangan individu di dalam parti.


Kita tahu bagaimana Sdr Mohd Sabu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan dirinya dipanggil semaksima mungkin untuk merasmikan mesyuarat agung kawasan, dengan harapan dirinya akan dicalonkan untuk sekurang-kurangnya Naib Presiden.


Kita juga tahu bagaimana beliau menggunakan “orang-orangnya” untuk turun kawasan melobi perwakilan untuk diberi undi kepadanya kelak. “Orang-orangnya” juga faham bahawa undi mereka untuk Naib Pesiden PAS hanyalah untuk beliau seorang dan tidak perlu bagi mereka mengundi calon yang lain.


Dan kita terlebih tahu bagaimana beliau menggunakan wartawan harakah untuk mengangkat dirinya dan pada masa sama melakukan serangan peribadi terhadap pimpinan yang lain yang bukan didalam kelompoknya.


Budaya ini adalah budaya UMNO yang amat merbahaya dan mengundang bala. Semoga anasir seperti ini dapat kita padamkan sama sekali tanpa diberi peluang untuk berkembang dimasa hadapan.


7. TERLALU INGIN KEPADA JAWATAN


Sesiapa yang ada kesempatan bertemu dengan Sdr. Mohd Sabu kebelakangan ini (terutamanya perwakilan) pasti mendengar cakapan beliau tentang pemilihan Muktamar kali ini. Secara terbuka beliau menagih simpati meminta untuk diberi undi kepada beliau sebagai Naib Presiden. Dan apa yang kita sebutkan di atas sudah cukup untuk menggambarkan betapa beliau meminta-minta jawatan Naib Presiden untuk diri beliau.


Sedangkan amalan tersebut adalah dilarang dan dicela di dalam Islam. Sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis :


Dari Abu Musa r.a. katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya"

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Di dalam hadis yang lain (riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Rasulullah SAW menasihati sahabatnya Abd Rahman Bin Samurah : "Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu"


Tuan Guru Hj Hadi juga (seolah-olah menyedari senario yang sedang berlaku) telah menegaskan di dalam wawancaranya bersama harakah pada 21 Mei, 2007 : “Mereka yang konsisten dan istiqamah dalam parti, boleh berada dalam kepimpinan dan syarat yang terpenting ialah seseorang itu tidak boleh meminta jawatan. Dalam Islam kita tidak boleh meminta jawatan...”


8. GAGAL SEBAGAI PESURUHJAYA P.PINANG


Pulau Pinang adalah diantara negeri yang malang mempunyai Sdr. Mohd Sabu sebagai Pesuruhjaya mereka. Harapan untuk melihat P.Pinang maju dan bersatu dalam mengerjakan amal jama’i hanya tinggal harapan. Kenyataanya, perhubungan negeri P.Pinang hampir lumpuh. Ramai ahli perhubungan negeri sudah hilang thiqah dan telah nekad untuk tidak menghadiri sebarang mesyuarat perhubungan. Timbalan Pesuruhjayanya juga telah bertindak meletakkan jawatannya. Bagi mereka Badan Perhubungan PAS Negeri P.Pinang hanya dikuasai oleh golongan pro-syiah.


Beliau seringkali gagal menghadiri mesyuarat perhubungan negeri dan selalunya menyerahkan kebanyakan tugasan kepada Setiausaha Perhubungan tanpa penglibatan Timbalan Pesuruhjaya yang sepatutnya lebih berperanan besar. Setiausaha Perhubungan dilihat lebih berkuasa dalam banyak hal dan seringkali gagal menjemput ahli perhubungan yang bukan dari kelompoknya untuk menghadiri mesyuarat.


Mohd. Sabu juga dilihat lebih banyak menghabiskan masa dengan ceramah diseluruh pelusuk Negara tanpa mempedulikan nasib negerinya yang sepatutnya menjadi amanah daripada Jamaah. Kadangkala kita pun hairan kenapa beliau lebih mementingkan ceramah daripada urusan negeri (mungkin juga untuk pengaruh peribadi dan duit poket beliau!).


Sebab itulah nasib PAS P.Pinang diibaratkan oleh ahlinya sebagai parah menanti rebah akibat dari penyelewengan, kelemahan dan salahguna kuasa yang telah dilakukan oleh Mohd. Sabu dan rakan-rakannya. Kini, rungutan dan sungutan kedengaran di sana sini supaya P.Pinang diberi Pesuruhjaya yang baru supaya mereka boleh kembali bernafas dengan segar dan nyaman. Dan yang pastinya udara itu mestilah udara Ahl Sunnah Wal Jamaah!


9. BOCOR MAKLUMAT RAHSIA PARTI


Adalah menjadi prinsip amalan bagi pimpinan untuk melaksanakan konsep kerahsiaan dan keterbukaan dalam gerak kerja harakah. Ada perkara-perkara yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan umum mahupun ahli parti atas dasar maslahat umum terutamanya hal-hal berkaitan penyusunan dan perancangan. Namun konsep ini seolah-oleh tidak dimengerti oleh Sdr. Mohd Sabu. Jika tidak masakan maklumat rahsia Parti boleh bocor ke tangan pihak ke tiga. Beberapa kali dilaporkan orang syiah P.Pinang terlebih dahulu tahu mengenai beberapa keputusan di peringkat pimpinan daripada ahli parti sendiri! Sedarlah bahawa suasana ini amat merbahaya dan menjadi ancaman kepada parti dan gerakan Islam keseluruhannya.


10. TIDAK AMANAH


Di antara ciri-ciri terpenting yang perlu ada dalam diri pemimpin ialah sifat amanah. Tetapi, sayangnya sifat ini sudah mula terhakis dari diri Mohd Sabu. Kalau tidak masakan ada ahli-ahli PAS di Pulau Pinang yang begitu nekad dan sanggup menulis surat kepada Presiden PAS untuk menceritakan perbuatan Mohd Sabu yang telah menyelewengkan wang perhubungan PAS Negeri P.Pinang.


Di dalam surat tersebut, Mohd. Sabu telah dituduh menyelewengkan wang Perhubungan PAS Negeri dan wang Badan Khairat Kematian PAS Negeri untuk kegunaan peribadinya. Beliau juga dituduh menyelewengkan wang Tabung Mangsa Tsunami dan Dana Pilihanraya yang telah disumbangkan oleh PAS Pusat. Mungkin atas sebab itulah kenapa beliau tidak dapat menyediakan dan membentangkan laporan kewangan negeri dan gagal melantik Bendahari Badan Perhubungan Negeri P.Pinang. Dan tidak hairanlah kenapa orang ramai sudah mula hilang kepercayaan terhadap PAS P.Pinang hinggakan mereka tidak mahu lagi menyumbangkan wang ataupun infaq kepada perhubungan negeri.


Ketahuilah, pertuduhan ini amat serius. Ianya adalah pecah amanah. Dan jika sesiapa membawa kes ini ke pihak polis, nescaya ianya akan menjadi kes jenayah yang amat berat. Mudah-mudahan kes ini tidak akan berpanjangan sehingga ke peringkat tersebut. Jika tidak, nescaya PAS akan hilang mukanya dibumi Malaysia!


KESIMPULAN


Saya sayang Mohd Sabu....tetapi saya lebih sayangkan kesucian Gerakan Islam.


.


Thursday, May 28, 2009

Kenapa Husam Tidak Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

1. Husam Bukan Ulama

Dalam mesyuarat Majlis Syura yang di adakan baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Nik Aziz, satu ketetapan telah dibuat bahawa keputusan Muktamar Tahun 1982 adalah masih diguna pakai hingga ke hari ini. Keputusan tersebut adalah PAS akan dipimpin oleh Ulama melalui konsep Kepimpinan Ulama.

Diantara maksud kepimpinan ulama yang difahami dan dipraktiskan oleh ahli dan perwakilan PAS daripada tahun 1982 hingga ke hari ini ialah Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dikalangan Ulama.

Peristiwa tahun 1982 berlaku disebabkan ahli PAS menolak kepimpinan Dato Asri pada ketika itu yang mula terpengaruh dengan "Konsep Penerapan Nilai-Nilai Islam" yang diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim apabila beliau masuk UMNO pada tahun tersebut. Seperti biasa, Anwar bijak untuk mempengaruhi kepimpinan PAS untuk menerima idea beliau sejak hari pertama beliau masuk UMNO hinggalah ke hari ini.

Hanya golongan ulama yang kuat pegangan agamanya sahaja yang tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan retorik Anwar Ibrahim.

Menyedari suasana itulah ahli dan perwakilan PAS di tahun 1982 bertindak menolak kepimpinan Dato Asri dan mengangkat AlFadhil Ust Yusuf Rawa sebagai Presiden manakala Ust Fadhil Nor diangkat menjadi Timbalan Presiden. Maka terkenallah PAS selepas itu dengan Konsep Kepiminan Ulama yang dihormati dan dikagumi oleh kawan dan lawan di seluruh dunia.

Konsep Kepimpinan Ulama (Presiden dan Timbalan hendaklah ulama) tersebut diteruskan lagi selepas Ust Yusuf Rawa melepaskan jawatan Presiden. Beliau digantikan oleh Ust Fadhil Nor sebagai Presiden dan Tuan Guru Hj Hadi dilantik pula sebagai Timbalan Presiden. Gandingan tersebut berkekalan untuk tempoh yang agak lama dan dalam tempoh tersebutlah PAS mula mengorak langkah aggresif untuk menjadi parti alternatif untuk rakyat malaysia keseluruhannya.

Selepas kewafatan Ust Fadhil Nor, Tuan Guru Hj Hadi mengambil alih tugas sebagai Presiden manakala perwakilan memilih Ust Hasan Shukri sebagai Timbalan Presiden. Dua tahun berikutnya perwakilan tetap memegang teguh konsep kepimpinan ulama apabila Ust Nasharudin pula dipilih sebagai Timbalan Presiden untuk digandingkan dengan Tuan Guru Hj Hadi. Dan gandingan tersebut berkekalan hinggalah ke hari ini.

Ini menunjukkan secara jelas bahawa maksud kepimpinan ulama yang diterima pakai oleh ahli dan perwakilan PAS sejak tahun 1982 hingga ke hari ini ialah Presiden dan Timbalan Presiden mestilah ulama. Dan menurut keputusan Majlis Syura baru-baru ini, maksud inilah juga yang perlu diteruskan dan diguna pakai oleh ahli dan perwakilan PAS.

Keputusan Majlis Syura tersebut perlulah difahami sebaik mungkin dan perlulah diikuti sepenuhnya oleh ahli-ahli PAS apabila bermuktamar nanti.

Satu perkara yang patut kita renungi - Kalau dahulu ditahun 1982, disebabkan Anwar Ibrahimlah PAS menukar kepimpinan Dato Asri kepada kepimpinan ulama, janganlah pula sekarang disebabkan beliau juga kita terpaksa kembali berundur untuk membuang konsep kepimpian ulama.

Apa rasionalnya Presiden dan Timbalannya mesti ulama? Kenapa perlu Timbalan Presiden mesti ulama kalau Presiden sudah ulama?
Kerana Timbalan akan jadi Presiden kalau apa-apa berlaku ke atas Presiden sepertimana yang berlaku apabila Ust Fadhil Nor meninggal dunia pada tahun 2002.

Dan yang lebih penting lagi Presiden dan Timbalan Presiden adalah ahli Majlis Syura sejak konsep kepimpinan ulama diperkenalkan. Pentingnya Presiden dan Timbalannya perlu berada di dalam Majlis Syura ialah kerana Majis Syura adalah institusi terpenting dan paling berkuasa di dalam hirarki pentadbiran PAS. Dalam Fasal 7 Perlembagaan PAS, antaranya Majlis Syura mempunyai kuasa mentafsir perlembagaan dan dasar PAS, menentukan halatuju PAS, menentukan boleh atau tidak bertahaluf dengan badan lain dsb. Melihat kepada tugas dan peranan Majlis Syura yang sebegitu penting, Presiden dan Timbalan nya perlu berada didalamnya untuk menetukan hala tuju PAS dan dengan itu barulah mereka dapat memimpin PAS dengan lebih berkesan.

Apakah pula syarat-syarat untuk melayakkan seseorang itu duduk sebagai ahli Majlis Syura? Dalam Fasal 7 (4) (a) di jelaskan secara terperinci syarat-syarat untuk menjadi ahli Majlis Syura iaitu :
"Seseorang yang hendak dilantik menjadi ahli "MAJLIS SYURA 'ULAMA" itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS."

Pada saya, ini jugalah syarat-syarat yang perlu ada pada seorang Presiden dan Timbalan Presiden PAS.

Berdasarkan kepada hujah tersebut jugalah dapat disimpulkan bahawa Husam Musa (dan juga Mohamad Sabu) tidak sesuai dan tidak layak untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS.


bersambung....

Wednesday, May 27, 2009

Siapakah Yang Paling Layak Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

.
Jawatan Timbalan Presiden PAS akan melibatkan pertembungan di antara tiga penjuru. YB AlFadhil Ust Nasharudin Mat Isa akan ditentang oleh Sdr Mohamad Sabu dan YB Dato' Husam Musa. Tidak dinafikan bahawa ketiga-tiga mereka adalah tokoh pimpinan PAS yang agak popular.

YB AlFadhil Ust Nasharudin yang merupakan ahli parlimen Bachok dikenali sebagai tokoh ulama muda yang mewakili kepimpinan ulama adalah merupakan calon yang paling popular dikalangan kawasan dan perwakilan. Beliau mendapat jumlah pencalonan yang tertinggi iaitu sebanyak hampir 70 kawasan daripada 137 kawasan telah mencalonkan beliau.

YB Dato' Husam Musa pula adalah EXCO Kerajaan negeri Kelantan dan merupakan seorang yang pakar dalam ekonomi dan strategi politik. Beliau juga dikatakan mewakili kumpulan liberal di dalam PAS yang dikenali sebagai "Kumpulan Erdogan" merupakan calon yang popular dikalangan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP). Beliau dikatakan memperolehi pencalonan daripada 28 kawasan.

Manakala Sdr Mohamad Sabu pula adalah seorang aktivis PAS yang paling lasak dan kental semangat perjuangannya. Beliau pernah menjadi ahli Parlimen di Kelantan dan Kuala Kedah sebelum tewas di Kuala Trengganu dalam PRU ke 12. Beliau merupakan calon ketiga popular berdasarkan jumlah pencalonan yang diperolehinya daripada 26 kawasan.

Daripada ketiga-tiga calon tersebut, siapakah yang paling layak untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS? Satu jawatan yang begitu penting, seolah-olah menjadi bayangan kepada jawatan Presiden PAS itu sendiri. Jika ada apa-apa yang berlaku kepada Presiden (seperti kematian) maka Timbalan Presidenlah yang akan memangku tugas sebagai Presiden. Timbalan Presiden adalah pengganti kepada Presiden apabila Presiden tidak hadir dalam mesyuarat AJK Pusat. Timbalan Presiden adalah pembantu Presiden yang paling kanan dalam kerja-kerja parti. Timbalan Presiden juga perlu berada di dalam Majlis Syura untuk memudahkan penyelarasan kerja-kerja parti. Dan yang paling pentingnya Timbalan Presiden mestilah kelihatan serasi dengan Presiden.

Diantara kriteria penting yang perlu ada kepada Timbalan Presiden ialah Iman & taqwa, Ilmu agama yang mendalam, Syakhsiyah Islamiyah dan akhlak yang terpuji dll. Sebab itulah jawatan Timbalan Presiden ini bukanlah satu jawatan main-main atau untuk suka-suka nak rebut. Ianya menuntut satu pertanggungjawaban yang maha tinggi dihadapan Allah dan RasulNya. Ianya bukan semata-mata "TIMBALAN PRESIDEN PAS" yang bersifat parti politik tetapi adalah juga "QA'ID" dan "MAS'UL" kepada Jamaah Islamiyah Harakiyah.

Pada saya, diantara ketiga-tiga calon tersebut, sudah tentulah AlFadhil Ust Nasharudin yang paling layak untuk terus memimpin sebagai Timbalan Presiden PAS. Kerana apa? Mudah....kerana calon yang dua lagi itu tidak layak untuk jawatan tersebut. Saya ulang, bukan tak layak untuk menjadi pemimpin PAS, tetapi tidak layak untuk menjadi Timbalan Presiden PAS. Apakah alasan-alasan saya berpandangan sedemikian? Tunggu... saya akan perincikan satu persatu dalam blog ini kenapa YB Dato Husam Musa dan Sdr Mohamad Sabu tidak layak untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS.

.

Tuesday, May 26, 2009

Kisah DiSebalik Debat Husam & Zahid

Apabila Husam mengisytiharkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS, sudah semestinya beliau telah melakukan perkiraan yang munasabah. Mengenali Husam, beliau pasti mempunyai perancangan hebat untuk memenangi jawatan yang beliau idamkan sekian lama.


Tiada siapa boleh nafikan bahawa Husam mempunyai hubungan istimewa dengan pihak media kerana beliau juga merupakan bekas wartawan. Di antara pihak media yang agak rapat dengan beliau ialah Malaysiakini (hubungan kelamin),The Star dan Media Prima (TV3 & TV9).


Sebab itulah kita tidak hairan kenapa beliau selalu mendapat liputan meluas daripada pihak media sehingga menenggelamkan pimpinan PAS yang lain termasuk Presiden dan Timbalannya. Beliau menggunakan kelebihan hubungan tersebut untuk meminta pihak media sentiasa membuat liputan untuknya.


Di antara program kempen bagi jawatan Timbalan Presiden yang disusunkan khas untuk beliau ialah program debat beliau dengan Dato Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO. Sebab itulah kita melihat betapa Husam dan jenteranya begitu hebat mempromosikan program debat tersebut di mana-mana. Beliau begitu bersedia untuk menunjukkan kehebatan dirinya bila berhujah dengan lawan. Beliau yakin Zahid tidak selicik Khairi Jamaludin yang telah berjaya memalukan Husam satu ketika dahulu.


Zahid yang pada awalnya tidak menyedari perancangan sebenar Husam untuk menyeret beliau dalam program kempennya telah menerima pelawaan untuk berdebat dengan Husam. Tetapi setelah beliau diberitahu oleh seseorang bahawa Husam sebenarnya sekadar ingin berkempen untuk dirinya bagi jawatan Timbalan Presiden PAS, maka Zahid dengan serta merta menguzurkan diri dan meminta tarikh lain yang diluar dari tempoh berkempen untuk muktamar PAS.


Maka kecewalah Husam yang teramat sangat apabila diberitahu oleh Media Prima bahawa Dato Zahid telah membatalkan kehadirannya diprogram tersebut dan sebagai gantinya mereka telah menjemput Ezam Md Nor. Bagi Husam, Ezam bukanlah tarafnya. Bagi Husam, beliau hanya setaraf Zahid Hamidi atau Muhyidin Yasin. Maka Husam pun menolak untuk berdebat dengan Ezam.


Setelah Husam menolak, pihak Media Prima dipercayai telah menghubungi Mat Sabu (seorang lagi calon Timbalan Presiden PAS) untuk menjemput beliau berdebat dengan Ezam dan telah diterima oleh Mat Sabu dengan gembiranya. Tetapi setelah Husam mendapat tahu bahawa pihak Media Prima telah menghubungi Mat Sabu bagi program tersebut, dengan pantas beliau menghubungi mereka kembali dan menyatakan kesudian beliau untukmenghadirkan diri ke program tersebut. Mungkin beliau khuatir pengaruh yang bakal diperolehi oleh Mat Sabu selepas program tersebut memandangkan Mat Sabu juga bukan calang-calang orang dalam berhujah dan berdebat.


Maka pergilah Husam ke TV9 untuk program debat tersebut. Tetapi, rupa-rupanya pemergian beliau hanyalah untuk berlakon sahaja. Kononnya beliau ingin menunggu Zahid Hamidi juga. Dan bila Zahid tidak muncul beliau pun pulang dan meninggalkan Ezam keseorangan dalam program tersebut. Apakah motif beliau berbuat demikian? Untuk apa menunggu Zahid kalau dah Zahid beritahu dari awal lagi bahawa beliau tidak akan datang. Mungkin hanya untuk menyekat kedatangan Mat Sabu atau untuk menunjukkan yang Zahid takut kepadanya.


Begitulah terdesaknya Husam untuk mempromo dirinya untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS.


Sunday, May 3, 2009

Tak Perlu Jadi Pembidas Profesional

Oleh : Zolkharnain Abidin

Sumber yang dipercayai memaklumkan bahawa Mustafa Ali, pelopor kepimpinan ulama’ dalam Pas telah menjelaskan maksud kepimpinan ulama’. Pertama, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Besut dan kedua, ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu.


Difahamkan bahawa Mustafa berkata, kepimpinan ulama’ yang digagaskannya antara lain bermaksud dua pemimpin tertinggi Pas hendaklah ulama’. Difahamkan juga kenyataannya itu disiarkan oleh Sinar Harian Terengganu.


Kalau semangat dan ruh kepimpinan ulama’ gagasan Mustafa ingin dipakai, maknanya jawatan Presdien dan Timbalan Presiden hendaklah dipegang oleh ulama’. Sama ada orang itu Abdul Hadi atau Nasharuddin atau sesiapa sahaja, itu bukan isunya.


Namun ketepikan sahaja kenyataan itu. Kenyataan Mustafa itu tiada tempat lagi sekarang. Kenyataan itu tidak mampu membentuk arus atau gelombang. Lagi pun Mustafa tidak penting lagi waktu ini, sama seperti ulama juga.


Mustafa hanya akan dicari apabila diperlukan untuk mengkisahkan mengenai sejarah perjuangan Pas sama seperti ulama’ juga akan dicari apabila Pas ingin menganjurkan solat hajat untuk mengalahkan Umno dalam pilihanraya.


Anda ada sapu tangan? Ya, sangat diperlukan apabila hingus meleleh atau air mata mengalir tetapi ditolak ketepi apabila badan segar-bugar. Seperti sapu tangan yang tidak pernah kecil hati, demikian saya yakin dengan Mustafa dan ulama’ di dalam Pas.


Inilah waktu yang sesuai untuk para ulama’ di dalam Pas diserang dan dibidas. Tidak perlu menjadi penyerang atau pembidas yang bagus, serang dan bidas saja, serangan dan bidasan itu pasti mengena kerana sasaran serangan dan bidasan itu adalah ulama’.

Bukan susah menyerang dan membidas ulama’. Mudah saja, begini caranya.

Pertama - Kalau kenyataan ulama’ dilaporkan oleh media arus perdana milik Umno, anda katakan begini;
- Ulama’ mencari publisiti murahan
- Ulama’ sudah menjadi alat musuh
- Ulama’ membawa jamaah masuk perangkap musuh
- Ulama’ sudah kena perangkap

Kedua – Kalau ulama’ bertemu dengan pemimpin parti lawan, anda katakan begini;
- Ulama’ itu gila pangkat
- Ulama’ itu nak bawa jamaah menyertai pakatan lawan
- Ulama’ itu kejar dunia
- Ulama’ itu idamkan jawatan menteri

Ketiga
– Kalau ulama’ mempertahankan Presiden dan Timbalan Presdien mesti ulama’, katakan begini;
- Ulama’ perasan dia bagus sangat?
- Ulama’ rasa parti ini untuk ulama’ saja?
- Parti lain tidak begitu pun
- Gerakan Islam dunia tidak begitu pun

Keempat
– Kalau ulama’ terkhilaf membuat sesuatu keputusan dan kenyataan, katakan begini;
- Ulama’ tidak tahu ilmu pengurusan
- Ulama’ tidak jauh bacaan politik
- Ulama’ mudah tertipu dengan gerak politik musuh
- Ulama’ cetek ilmu strategi politik
- Ulama’ tak baca buku ilmu perang bikinan Sun Tzu


Maksudnya, anda tidak perlu menjadi penyerang atau pembidas profesional untuk menyerang dan membidas ulama, penyerang dan pembidas amatur pun boleh.


Tapi ulama’ tak perlu bimbang, nak solat hajat, belah mulut, baca doa penutup muktamar, baca al-Quran bukan muktamar, kami akan cari tuan-tuan.


http://bongkarsauh.blogspot.com/



Kepimpinan Ulamak Di pertikai Ketika PAS cemerlang ?

Oleh : Zulhimi Abd. Rahman Attakiri


Penulis terbaca sedutan wawancara bersama dengan Tim. Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr. Haron Din berkenaan dengan kepimpinan Ulamak.


Beliau telah menjelaskan kekeliruan yang timbul di saat terdapat segelintir ahli dan pimpinan PAS mula mempertikaikan gagasan kepimpinan Ulamak.


Ada yang mencadangkan agar gagasan kepimpinan ulamak ini ditukar kepada kepimpinan bertaqwa. Penulis pun tidak pasti apa asas dan tujuan penukaran ini.


Kepimpinan Ulamak di susun secara sistematik semenjak tahun 1982 setelah ahli PAS melihat kepimpinan PAS ketika itu (zaman Dato’ Asri Muda) mempunyai arus perjuangan yang kabur. PAS dilihat sebagai gerakan Nasionalis seperti UMNO.


Oleh itu, ahli PAS bangkit kembali untuk mengembalikan PAS kepada perjuangan asalnya dan dimantapkan lagi dengan perbentukan kepimpinan Ulamak.


Gagasan kepimpinan ulamak ini digagaskan kerana PAS ketika itu betul-betul berada dalam keadaan lemah dan seolah-olah hilang prinsip perjuangannya.


Oleh itu, kepimpinan Ulamak digagaskan bagi menguatkan kembali dasar dan perjuangan PAS.


Kepimpinan Ulamak diasaskan supaya pergerakan PAS bukan sahaja tertumpu kepada politik semata-mata. Kepimpinan Ulamak digagaskan bagi memastikan perjuangan PAS tidak lari dari konsep perjuangan samada dari sudut dakwah, tarbiyyah dan politik.


Hasil daripada gagasan ini, PAS berjaya menempa nama dan menjadi parti kedua terkuat di tanah air.


Kekuatan PAS semakin bertambah dengan kemenangan selepas PRU12 dengan berjaya menguasai 5 negeri hasil kerjasama politik bersama dengan PKR dan DAP. Ini menunjukkan bahawa gagasan ini semakin menuju kepada kecemerlangan.


Disaat PAS cemerlang dengan kepimpinan ulamak. Ada juga pihak yang mempertikaikan kepimpinan ulamak ini. Penulis tidak pelik kalau kepimpinan ulamak dipertikaikan kerana gagasan ini menyebabkan PAS menjadi lemah.


PAS semakin kuat dan semakin dipandang oleh kawan dan lawan. Walaupun PAS mempunyai bilangan ahli parlimen yang tersedikit. Tapi PAS mempunyai ADUN yang teramai dalam PAKATAN RAKYAT.


PAS mempunyai matlamat dan dasar yang mantap. Segala tindak tanduk PAS adalah berdasarkan kepada Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias.


Inilah antara rahsia kekuatan PAS sejak zaman berzaman.


Selain dari usul memperkasakan PAKATAN RAKYAT dalam muktamar yang lalu. Perwakilan juga pernah bersetuju dengan usul supaya menyerahkan mandat kepada kepimpinan dalam isu muzakarah dengan mana-mana pihak.


Jadi, untuk apa kita melenting supaya kepimpinan ulamak hendak dikaji semula.? PAS berada dalam keadaan lemah ke sekarang.? Jawapannya tidak.


PAS bergerak melanggar Al-Quran ke sekarang.? Jawapannya tidak.


Jadi apa masalah dengan kepimpinan ulamak sebenarnya.?


Mungkin ada yang berpendapat bahawa PAS tidak mengikut arus rakyat dengan mengadakan perbincangan yang dianggap sulit dengan UMNO. Penulis tidak pasti kenapa disebut sulit oleh Naib Presiden sendiri. Sedangkan Tuan Guru Presiden pernah menyebut bahawa setiap butir pertemuan telah di maklumkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat. Mungkin sulit kepada ahli tetapi bukan pimpinan.!


Tapi adakah salah kalau PAS berbincang tentang kepentingan Islam. Kalau DSAI boleh berbincang dengan MP UMNO untuk urusan lompat. Kenapa PAS tidak boleh berbincang dengan UMNO demi kepentingan umat Islam. berbincang bukan semestinya setuju.


Hebat sangat ke DSAI. Koman sangat ke pimpinan PAS.


Penulis harap, kesemua ahli dan pimpinan memberi dokongan kepada kepimpinan ulamak ini.


Penulis menulis tajuk ini bukan bermakna ada kepentingan. Cuma sekadar ingin menerangkan bahawa gagasan inilah yang menjadi tonggak penting dalam kelangsungan gerakan Islam.


www.attakiri.blogspot.com


Dato' Paduka Husam Musa Sewajarnya Bertanding di jawatan Presiden Demi Arah Tuju PAS yang Terang

Oleh : Ustaz Nasrudin Tantawi

Dato' Paduka Husam bin Musa Naib Presiden PAS telah menegaskan bahawa beliau bersedia untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS menjelang pemilihan di muktamar kelak .

Saya mengikuti beberapa alasan yang dikemukakan oleh beliau bagi mewajarkan tindakannya mencabar penyandang Timbalan Presiden PAS hari ini .

Alasan beliau terhenti diatas tiga faktor :


1. Meneliti harapan dari PAS kawasan yang mencalonkan beliau .

2. Menimbang faktor arah tuju parti .

3. Memperkukuhkan pencapaian PAS dalam PRU ke 13

Saya tertarik kepada alasan ke dua yang dikemukakan dan ia berkait dengan hala tuju PAS . Dato' Husam menyatakan : " saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya. Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah. "

Meneliti kenyataan Dato' Paduka Husam Musa , dapat difahami dengan jelas bahawa beliau kini merasakan arah tuju PAS tidak terang atau tidak jelas malah meragukan , lantaran itu beliau kini bersedia untuk bertanding ke jawatan Timbalan Presiden PAS bagi memastikan selepas ini arah tuju PAS lebih terang dan tidak ada keraguan terhadap parti .

Andai arah tuju PAS telah jelas dan nyata , nescaya beliau tidak akan mengganggu malah tidak akan berfikir untuk mengganggunya .

Jika benar Dato' Paduka Husam Musa merasakan arah tuju parti tidak jelas dan nyata , sehingga mendorong beliau bertanding ke jawatan Timbalan Presiden di musim pemilihan parti akan datang , saya merasakan tindakan Dato' Paduka salah dan tidak tepat .

Saya tidak ragu terhadap telahan Dato' Paduka kerana sebelum ini saya sangat mengenali beliau sebagai seorang yang objektif dan strategis . Tentunya telahan beliau bahawa arah tuju parti tidak terang dan meragukan itu ada benarnya .

Tetapi saya tidak bersetuju beliau bertanding ke jawatan Timbalan Presiden . Kerana jawatan Timbalan Presiden tidak akan banyak membantu beliau untuk membetulkan kembali arah tuju parti yang kini telah kabur dan pudar malah meragukan ahli parti .

Jawatan yang sepatutnya ditandingi oleh seorang yang hebat dan berwibawa seperti Dato' Paduka Husam Musa ialah jawatan Presiden PAS itu sendiri . Kekuatan untuk merubah arah tuju dan memastikan ianya terang lagi jelas tanpa sedikitpun keraguan dikalangan anggota parti mestilah bermula dari kerusi Presiden parti .

Tambahan pula , hari ini pelbagai pihak menimbulkan keraguan terhadap Al Fadhil Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai Presiden parti dan menganggap idea - idea pelik yang di bawa oleh Tok Guru Presiden seperti muzakarah dan unity government , sangat meragukan ahli parti . Barangkali inilah juga asas kenapa Dato' Paduka Husam Musa menganggap arah tuju parti kini mengelirukan dan memaksa beliau bertanding ke jawatan Timbalan Presiden .

Sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa jawatan yang layak dan paling sesuai untuk misi dan visi Dato Paduka Husam Musa ialah Presiden bukan Timbalan Presiden .

Kawasan - kawasan yang masih belum selesai bermesyuarat agung atau belum menyerahkan kertas pencalonan kepimpinan parti boleh turut sama memikirkan kewajaran ini dan saya sarankan agar ada kawasan mencalonkan Dato' Paduka Husam Musa sebagai Presiden PAS dan saya sangat berharap agar Dato' Paduka tidaklah pula selepas ini menarik diri daripada pencalonan yang diberikan oleh kawasan kerana itu juga sebahagian dari harapan PAS kawasan dan ia menepati faktor pertama yang mendorong Dato' Paduka bertanding ke jawatan tertinggi parti .

Harapan saya selepas ini , PAS akan kembali mempunyai arah tuju yang terang lagi nyata dan tidak meragukan ahli parti setelah Presiden PAS sekarang banyak menimbulkan keraguan kepada ahli parti . Atas alasan serupa demi masa depan parti sekali lagi saya nyatakan sokongan saya agar Dato' Paduka Husam Musa diberi peluang untuk merebut jawatan Presiden parti . Justeru itu PAS kawasan mestilah mencalonkan beliau dan saya merayu sungguh - sungguh agar beliau benar - benar diberi peluang demi masa depan parti .

Dato' Seri Tuan Guru Presiden juga telah berulang kali menyebut bahawa beliau bersedia dicabar jika perwakilan merasa kepimpinan beliau tidak lagi berkesan malah meragukan , pula menyebabkan arah tuju parti menjadi tidak terang dan tidak nyata .

http://episodeperjuangan.blogspot.com/


Friday, May 1, 2009

Ulama’ Sudah Dipukul Dua Kali


Gandingan Yusof Rawa – Fadhil Nor dan Fadhil Nor – Abdul Hadi tidak terusik seperti gandingan Abdul Hadi – Nasharuddin.


Setakat ini yang diusik sungguh-sungguh ialah jawatan nombor dua. Walau pun ada angin yang bertiup bahawa jawatan nombor satu akan terusik, tetapi nampaknya tiupan angin itu sudah berhenti.


Apabila Mohamad Daud, Ketua Dewan Ulama’ Pas Pusat menyarankan supaya jawatan nombor dua juga perlu diisi oleh ulama’, saranan itu seperti tidak berkesan.


Pencalonan terbaru selepas saranan itu ialah kawasan Shah Alam yang mencalonkan Husam untuk kerusi itu.


Malah akhbar melaporkan Mohamad dibidas oleh Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, orang senegeri dengannya. Mohamad dikatakan tidak memahami konsep kepimpinan ulama’.


Setakat ini, telah dua kali ulama’ dipukul. Kali pertama, saranan Ketua Dewan Ulama’ seperti tidak dipandang apatah dihargai, bahkan dibidas. Kedua, ulama’ dikata tidak memahami konsep kepimpinan ulama’. Saya yakin akan ada yang ketiga dan keempatnya, tunggulah.


Apabila ulama’ mempertahankan kerusi nombor dua perlu diisi oleh ulama’, pantas dibidas ulama’ tidak faham. Bagaimana pula kalau ulama’ berkata, golongan bukan ulama’ (saya tidak gunakan profesional kerana bukan semua bukan ulama’ adalah profesional) juga tidak faham?


Apa yang mereka tidak faham? Konsep kepimpinan ulama’ pada pandangan ulama’ adalah Presiden mestilah ulama’. Presiden adalah termasuk Timbalan Presiden kerana Timbalan Presiden adalah Presiden ketika keuzuran Presiden. Agaknya, inilah yang bukan ulama’ tidak faham.


Kerusi nombor dua perlu diisi oleh bukan ulama’ kerana bimbang Pas akan dimonopoli oleh ulama’. Semenjak bila pula doktrin ini ada dalam Pas? Bagaimana pula kalau dikata begini, golongan bukan ulama’ sedang berusaha memonopoli Pas? Bolehkah diterima?


Saya fikir ada banyak udang yang sedang bersembunyi di sebalik batu. Bongkah ais memang nampak kecil dipermukaan laut. Kalau ini adalah buruk sangka, maka buruk sangka ini diperlukan pada ketika ini.


Apa kata, Pas meminda perlembagaannya dan menubuhkan sebuah lagi dewan setaraf dewan-dewan sedia ada. Namakan sahaja dewan itu Dewan Profesional. Dalam dewan itu, golongan profesional perlu membuktikan keprofesionalan mereka. Kalau ada yang bukan profesional ingin masuk dewan itu, namakan saja dewan itu Dewan Bukan Ulama’.


http://bongkarsauh.blogspot.com/