Saturday, May 30, 2009

Layakkah Mohamad Sabu Untuk Jawatan Timbalan Presiden PAS?

Sebelum saya sambung cerita tentang Husam, biarlah saya ulas sedikit tentang seorang lagi calon Timbalan Presiden PAS, iaitu saudara Mohamad Sabu yang sekarang ini begitu sibuk berkempen terutamanya disebelah Johor. Macam-macam cerita saya dengar daripada kawasan-kawasan di Johor yang melaporkan Bang Mat buat fitnah macam-macam ke atas penyandang jawatan itu sekarang. Saya amat berharap laporan-laporan itu tidak benar.

Saya tidak pasti apa puncanya yang menyebabkan Bang Mat tiba-tiba begitu teringinkan jawatan Timbalan Presiden PAS. Tidak dinafikan bahawa beliau adalah seorang aktivis yang paling berani dan lantang menentang UMNO/BN. Ceramahnya menghiburkan bak penglipur lara atau seperti Tok Awang Batil menghiburkan orang-orang kampung selepas penat bersawah dan berkebun.

Mungkin selepas beliau kalah di parlimen Kuala Trengganu dan mempunyai banyak masa lapang, beliau gunakan semaksima mungkin untuk turun berceramah disetiap ceruk kawasan. Pantang dijemput berceramah, Bang Mat jarang menolak. Ini menyebabkan beliau agak rapat dengan kebanyakan kawasan dan memahami hasrat akar umbi.

Tetapi itu bukanlah bermakna kita terus layak untuk menjadi Timbalan Presiden yang bakal mengantikan Presiden nanti. Kita mesti pandai mengukur baju dibadan sendiri. Khalid Alwalid juga hebat dimedan tempur, tetapi beliau tidak pernah bercita-cita atau berusaha untuk menduduki jawatan Khalifah. Salman AlFarisi hebat dengan idea-idea dia dan amat rapat dengan oang-orang Parsi, tetapi dia juga tidak pernah cuba berebut jawatan Khalifah.

Ketokohan Bang Mat memang diperlukan didalam PAS tetapi bukan sebagai Timbalan Presiden yang akan menggantikan Presiden nanti. Kita kena tahu setakat mana siling kita. Takut kalau panjat juga kita akan jatuh terus ke bawah.

Sewaktu menyemak arkib Tranungkite, saya terjumpa satu artikel lama yang memperincikan mengapa Bang Mat tak layak untuk menjadi pimpinan PAS. Saya tak kata semuanya betul tapi banyak juga yang boleh dipakai.

Saya siarkan kembali artikel tersebut di sini :


10 DALIL KENAPA MOHD SABU TIDAK LAYAK MENJADI PIMPINAN PAS


Oleh : Abu Ezzadi


1. PEGANGAN/AMALAN SYIAH


Mohd Sabu dikenali ramai sebagai salah seorang yang begitu meminati dan mengkagumi perjuangan Hizbullah di Lubnan dan revolusi Islam Iran sejak dari dulu lagi. Minat, sokongan dan kecenderungan beliau diterjemahkan dengan kerapnya beliau berkunjung ke Lubnan dan Tehran dan seringkali menggunakan contoh perjuangan mereka di dalam ceramahnya. Namun sedarkah kita bahawa minat, sokongan dan kecenderungan beliau telah mula bertukar kepada pegangan agama dan aqidah? Tanyalah beliau tentang aqidah ataupun amalan orang Syiah, nescaya beliau akan dapat menghuraikannya dengan panjang lebar dan begitu terperinci. Tanyalah orang-orang syiah di Malaysia nescaya mereka akan menganggap Sdr. Mohd Sabu adalah sebahagian daripada mereka. Mungkin atas sebab itulah kita jarang melihat beliau solat jamaah bersama-sama kita. Malah diakui oleh pimpinan peringkat tertinggi bahawa mereka juga tidak pernah melihat beliau solat jamaah bersama (walaupun diimamkan oleh Tn Guru Hj Hadi). Dan yang lebih malang sekali, beliau telah mula menyebarkan fahaman ini kedalam parti, terutamanya ke atas golongan pemuda kita. Pernah dilaporkan apabila beliau membawa petugas-petugas Kuala Kedah melawat Thailand, mereka telah berhenti solat dimasjid-masjid yang dikenali ramai sebagai masjid orang syiah di sana.


Mungkin ada yang masih ingat beberapa siri demonstrasi di hadapan keduataan Amerika Syarikat dan Wisma Denmark sewaktu ketika dahulu. Ingatkah anda ada satu golongan syiah yang datang membawa sepanduk dan poster besar Imam Khomeini/Khameini sambil membaca selawat cara Iran dengan lahjah Iran. Dan tahukah anda bahawa semua itu ditaja oleh Sdr. Mohd Sabu dan di dalam kelompok tersebut juga terdapat beberapa pemuda PAS daripada Kuala Kedah!


Bukan setakat itu sahaja, malah ahli-ahli perhubungan negeri P.Pinang dan kebanyakan jawatankuasa kawasan di Pulau Pinang juga telah mula diresapi pengaruh syiah. Mereka cukup kagum dengan Mohd Sabu dan syiahnya.


Secara nyata Mohd Sabu telah menggunakan pengaruh dan jawatannya untuk mengembangkan ajaran dan pegangan syiah dikalangan ahli PAS. Sebab itulah tidak hairan kenapa beliau kerap berkunjung ke Lubnan dan Tehran dan seringkali beliau membawa ahli-ahli kita dan pemuda bersama-samanya. (Kadangkala kita tertanya-tanya daripada mana mereka memperolehi wang yang banyak untuk kerap berkunjung ketempat tersebut.) Dan seringkali juga beliau menolak dan mengelak untuk melawat ke Lubnan dan Tehran bersama-sama pimpinan PAS yang lain, kerana mungkin dikhuatiri tembelangnya akan pecah.


Suasana ini bukan lagi menjadi rahsia kepada ahli dan pimpinan PAS yang lain. Semoga satu tindakan yang tegas dapat diambil untuk membendung gejala ini yang kalau tidak disekat akan menjadi barah dan nanah yang bisa memecahbelahkan perpaduan di dalam Parti.


2. MENYAMAKAN PIMPINAN PAS DENGAN UMNO


Di dalam Ijtimak Jihad Pemuda PAS Kedah, sewaktu memberikan ucapannya, Sdr. Mohd Sabu telah menyamakan Pimpinan PAS dengan UMNO melalui kata-katanya :


Sekarang perangai pemimpin PAS dengan UMNO sama. Beza di antara Pemimpin PAS dengan Pemimpin UMNO 3 perkara sahaja - pemimpin PAS tak minum arak, pemimpin PAS tak berzina, pemimpin PAS tak main judi. Lain pada tu sama! Berebut harta, rasuah, nepotisme, pembaziran… sama!


Ucapan dan tindakan ini amat keterlaluan. Sekiranya ianya datang dari ahli UMNO mungkin masih boleh diterima dek akal walaupun biadap. Dan sekiranya datang dari ahli PAS memang sah biadap dan tidak ada wala’ terhadap pemimpin. Tetapi, apa yang menyedihkan, ianya datang dari seorang pemimpin PAS sendiri yang berjawatan Naib Presiden – suatu jawatan yang amat tinggi yang sudah menggambarkan pemimpin pelapis dan masa depan PAS. Cuba kita bayangkan wajah Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Nasharudin, Hussam Musa, Dato’ Hassan Ali, Ust Harun Taib dll, adakah wajah mereka sama seperti yang digambarkan oleh Sdr Mohd Sabu? Apakah mereka berebut harta, mereka rasuah atau mereka nepotisme? Astaghfirullah…. Kalau kita bercakap mengenai pemimpin UMNO, ada logiknya juga, kebanyakannya sudah ada bukti mahupun pertuduhan/perbicaraan. Tetapi, dengan menuduh kepimpinan ulama PAS sedemikian rupa tanpa sebarang bukti, adalah suatu dosa yang sukar diampunkan.


Apa sudah jadi dengan Sdr. Mohd. Sabu sehingga beliau sanggup dan tergamak untuk meletakkan taraf pemimpin PAS begitu rendah dan hina, serendah dan sehina pemimpin UMNO. Ataupun, mungkin juga pemimpin PAS yang beliau maksudkan itu adalah diri beliau sendiri?


3. PENGGUNAAN BAHASA YANG TIDAK MENCERMINKAN AKHLAK ISLAM


Tidak dapat dinafikan bahawa beliau adalah ‘crowd puller’ bagi PAS. Ceramah beliau seringkali mendapat sambutan orang ramai, baik ahli PAS mahupun UMNO. Tetapi seringkali juga ceramah beliau menjadi fitnah kepada PAS. Umum mengetahui, beliau sentiasa nampak hebat dengan gaya bahasa yang kasar dan kesat, kadangkala mencarut dan selalunya mencerca dan memaki pihak lawan sesuka hati. Ramai orang suka (terutamanya ahli PAS) tetapi terlebih ramai yang benci dan meluat (terutamanya dikalangan orang awam dan ahli UMNO). Sebab itulah beliau dilarang berceramah di kebanyakan tempat yang menjadi kubu kuat UMNO termasuk di dalam beberapa pilihanraya kecil kerana dikhuatiri menjadi fitnah kepada parti dan ramai orang akan lari dari mengundi pembangkang. Ceramah beliau bukan membawa kepada kesedaran Wa’i Islam ataupun pembentukan Syakhsiyah Islamiyah tetapi hanya menyemai dan menyubur perasaan benci dan marah kepada mereka-mereka yang sepatutnya menjadi mad’u kepada kita.


4. FITNAH KEPADA IMEJ ISLAM


Sesungguhnya kita memerlukan saf kepimpinan yang mencerminkan akhlak dan syakhsiyah Islam supaya jamaah kita senantiasa berada di atas landasan yang betul dalam mengejar suruhan dan keredhaan Allah. Janganlah disebabkan oleh hanya seorang yang tak sepatutunya berada di dalam saf kepimpinan, Allah tidak merahmati jamaah dan parti kita. Sebab itulah kalau kita perhatikan sirah dan sejarah perjuangan golongan terdahulu, mereka amat menitikberatkan soal akhlak dan syakhsiyah pemimpin. Mana-mana pemimpin yang ada walau “syubhah” dalam peribadi dirinya akan ditolak dan diturunkan daripada jawatannya.


Kalau hendak mencungkil dan mendedahkan segala cela keperibadian Sdr. Mohd Sabu, dikhuatiri akan memalukan dan mengaibkan diri kita sendiri. Cukuplah kita mengingati kembali peristiwa khalwat beliau sewaktu menjadi ahli Parlimen di Kelantan. Kes tersebut walaupun dibuang oleh Mahkamah Syariah atas sebab-sebab teknikal, semua orang tahu tentang kebenarannya. Kalau tidak masakan Al Marhum AlFadhil Ust Fadhil Nor memarahi beliau “pasai apa nak pi cari penyakit”…. dengan membenarkan perempuan bukan muhram memasuki bilik hotel beliau??


5. KEHIDUPAN MEWAH


Beliau seringkali menyarankan kita didalam ceramahnya supaya sentiasa hidup sederhana. Tetapi sayangnya beliau sendiri tidak dapat melakukan apa yang disarankannya sendiri. Mungkin kita boleh bertanyakan beliau tentang rumah banglo di Bukit Merah, sebuah kereta Naza Ria dan sebuah kereta Perdana – apakah ini corak hidup sederhana yang dimaksudkan? Dalam keadaan beliau tidak ada pendapatan tetap, bagaimana mungkin beliau dapat memperolehi kesemuanya itu? Bayangkanlah kehidupan “sederhana” yang bagaimana beliau akan zahirkan sekiranya PAS memerintah dan beliau adalah salah seorang daripada Menteri Kabinet?? Patutlah beliau menyamakan pimpinan PAS dangan UMNO kerana rupa-rupanya pimpinan PAS yang beliau maksudkan itu adalah diri beliau sendiri!


6. KUAT MELOBI & BERMAIN POLITIK


Tidak salah untuk dipilih sebagai pemimpin. Tetapi, jika sehingga lobi melobi, mengatur strategi dan menyusun langkah semata-mata untuk memastikan kemenangan diri sendiri, ini adalah sesuatu yang menjengkelkan dan merupakan amalan yang tak dapat diterima sama sekali bagi sebuah Jamaah/Parti Islam. Sepatutnya usaha dan tenaga ditumpukan untuk kemenangan parti bukannya kemenangan individu di dalam parti.


Kita tahu bagaimana Sdr Mohd Sabu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan dirinya dipanggil semaksima mungkin untuk merasmikan mesyuarat agung kawasan, dengan harapan dirinya akan dicalonkan untuk sekurang-kurangnya Naib Presiden.


Kita juga tahu bagaimana beliau menggunakan “orang-orangnya” untuk turun kawasan melobi perwakilan untuk diberi undi kepadanya kelak. “Orang-orangnya” juga faham bahawa undi mereka untuk Naib Pesiden PAS hanyalah untuk beliau seorang dan tidak perlu bagi mereka mengundi calon yang lain.


Dan kita terlebih tahu bagaimana beliau menggunakan wartawan harakah untuk mengangkat dirinya dan pada masa sama melakukan serangan peribadi terhadap pimpinan yang lain yang bukan didalam kelompoknya.


Budaya ini adalah budaya UMNO yang amat merbahaya dan mengundang bala. Semoga anasir seperti ini dapat kita padamkan sama sekali tanpa diberi peluang untuk berkembang dimasa hadapan.


7. TERLALU INGIN KEPADA JAWATAN


Sesiapa yang ada kesempatan bertemu dengan Sdr. Mohd Sabu kebelakangan ini (terutamanya perwakilan) pasti mendengar cakapan beliau tentang pemilihan Muktamar kali ini. Secara terbuka beliau menagih simpati meminta untuk diberi undi kepada beliau sebagai Naib Presiden. Dan apa yang kita sebutkan di atas sudah cukup untuk menggambarkan betapa beliau meminta-minta jawatan Naib Presiden untuk diri beliau.


Sedangkan amalan tersebut adalah dilarang dan dicela di dalam Islam. Sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis :


Dari Abu Musa r.a. katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya"

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Di dalam hadis yang lain (riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Rasulullah SAW menasihati sahabatnya Abd Rahman Bin Samurah : "Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu"


Tuan Guru Hj Hadi juga (seolah-olah menyedari senario yang sedang berlaku) telah menegaskan di dalam wawancaranya bersama harakah pada 21 Mei, 2007 : “Mereka yang konsisten dan istiqamah dalam parti, boleh berada dalam kepimpinan dan syarat yang terpenting ialah seseorang itu tidak boleh meminta jawatan. Dalam Islam kita tidak boleh meminta jawatan...”


8. GAGAL SEBAGAI PESURUHJAYA P.PINANG


Pulau Pinang adalah diantara negeri yang malang mempunyai Sdr. Mohd Sabu sebagai Pesuruhjaya mereka. Harapan untuk melihat P.Pinang maju dan bersatu dalam mengerjakan amal jama’i hanya tinggal harapan. Kenyataanya, perhubungan negeri P.Pinang hampir lumpuh. Ramai ahli perhubungan negeri sudah hilang thiqah dan telah nekad untuk tidak menghadiri sebarang mesyuarat perhubungan. Timbalan Pesuruhjayanya juga telah bertindak meletakkan jawatannya. Bagi mereka Badan Perhubungan PAS Negeri P.Pinang hanya dikuasai oleh golongan pro-syiah.


Beliau seringkali gagal menghadiri mesyuarat perhubungan negeri dan selalunya menyerahkan kebanyakan tugasan kepada Setiausaha Perhubungan tanpa penglibatan Timbalan Pesuruhjaya yang sepatutnya lebih berperanan besar. Setiausaha Perhubungan dilihat lebih berkuasa dalam banyak hal dan seringkali gagal menjemput ahli perhubungan yang bukan dari kelompoknya untuk menghadiri mesyuarat.


Mohd. Sabu juga dilihat lebih banyak menghabiskan masa dengan ceramah diseluruh pelusuk Negara tanpa mempedulikan nasib negerinya yang sepatutnya menjadi amanah daripada Jamaah. Kadangkala kita pun hairan kenapa beliau lebih mementingkan ceramah daripada urusan negeri (mungkin juga untuk pengaruh peribadi dan duit poket beliau!).


Sebab itulah nasib PAS P.Pinang diibaratkan oleh ahlinya sebagai parah menanti rebah akibat dari penyelewengan, kelemahan dan salahguna kuasa yang telah dilakukan oleh Mohd. Sabu dan rakan-rakannya. Kini, rungutan dan sungutan kedengaran di sana sini supaya P.Pinang diberi Pesuruhjaya yang baru supaya mereka boleh kembali bernafas dengan segar dan nyaman. Dan yang pastinya udara itu mestilah udara Ahl Sunnah Wal Jamaah!


9. BOCOR MAKLUMAT RAHSIA PARTI


Adalah menjadi prinsip amalan bagi pimpinan untuk melaksanakan konsep kerahsiaan dan keterbukaan dalam gerak kerja harakah. Ada perkara-perkara yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan umum mahupun ahli parti atas dasar maslahat umum terutamanya hal-hal berkaitan penyusunan dan perancangan. Namun konsep ini seolah-oleh tidak dimengerti oleh Sdr. Mohd Sabu. Jika tidak masakan maklumat rahsia Parti boleh bocor ke tangan pihak ke tiga. Beberapa kali dilaporkan orang syiah P.Pinang terlebih dahulu tahu mengenai beberapa keputusan di peringkat pimpinan daripada ahli parti sendiri! Sedarlah bahawa suasana ini amat merbahaya dan menjadi ancaman kepada parti dan gerakan Islam keseluruhannya.


10. TIDAK AMANAH


Di antara ciri-ciri terpenting yang perlu ada dalam diri pemimpin ialah sifat amanah. Tetapi, sayangnya sifat ini sudah mula terhakis dari diri Mohd Sabu. Kalau tidak masakan ada ahli-ahli PAS di Pulau Pinang yang begitu nekad dan sanggup menulis surat kepada Presiden PAS untuk menceritakan perbuatan Mohd Sabu yang telah menyelewengkan wang perhubungan PAS Negeri P.Pinang.


Di dalam surat tersebut, Mohd. Sabu telah dituduh menyelewengkan wang Perhubungan PAS Negeri dan wang Badan Khairat Kematian PAS Negeri untuk kegunaan peribadinya. Beliau juga dituduh menyelewengkan wang Tabung Mangsa Tsunami dan Dana Pilihanraya yang telah disumbangkan oleh PAS Pusat. Mungkin atas sebab itulah kenapa beliau tidak dapat menyediakan dan membentangkan laporan kewangan negeri dan gagal melantik Bendahari Badan Perhubungan Negeri P.Pinang. Dan tidak hairanlah kenapa orang ramai sudah mula hilang kepercayaan terhadap PAS P.Pinang hinggakan mereka tidak mahu lagi menyumbangkan wang ataupun infaq kepada perhubungan negeri.


Ketahuilah, pertuduhan ini amat serius. Ianya adalah pecah amanah. Dan jika sesiapa membawa kes ini ke pihak polis, nescaya ianya akan menjadi kes jenayah yang amat berat. Mudah-mudahan kes ini tidak akan berpanjangan sehingga ke peringkat tersebut. Jika tidak, nescaya PAS akan hilang mukanya dibumi Malaysia!


KESIMPULAN


Saya sayang Mohd Sabu....tetapi saya lebih sayangkan kesucian Gerakan Islam.


.


No comments: