Friday, May 1, 2009

Ulama’ Sudah Dipukul Dua Kali


Gandingan Yusof Rawa – Fadhil Nor dan Fadhil Nor – Abdul Hadi tidak terusik seperti gandingan Abdul Hadi – Nasharuddin.


Setakat ini yang diusik sungguh-sungguh ialah jawatan nombor dua. Walau pun ada angin yang bertiup bahawa jawatan nombor satu akan terusik, tetapi nampaknya tiupan angin itu sudah berhenti.


Apabila Mohamad Daud, Ketua Dewan Ulama’ Pas Pusat menyarankan supaya jawatan nombor dua juga perlu diisi oleh ulama’, saranan itu seperti tidak berkesan.


Pencalonan terbaru selepas saranan itu ialah kawasan Shah Alam yang mencalonkan Husam untuk kerusi itu.


Malah akhbar melaporkan Mohamad dibidas oleh Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, orang senegeri dengannya. Mohamad dikatakan tidak memahami konsep kepimpinan ulama’.


Setakat ini, telah dua kali ulama’ dipukul. Kali pertama, saranan Ketua Dewan Ulama’ seperti tidak dipandang apatah dihargai, bahkan dibidas. Kedua, ulama’ dikata tidak memahami konsep kepimpinan ulama’. Saya yakin akan ada yang ketiga dan keempatnya, tunggulah.


Apabila ulama’ mempertahankan kerusi nombor dua perlu diisi oleh ulama’, pantas dibidas ulama’ tidak faham. Bagaimana pula kalau ulama’ berkata, golongan bukan ulama’ (saya tidak gunakan profesional kerana bukan semua bukan ulama’ adalah profesional) juga tidak faham?


Apa yang mereka tidak faham? Konsep kepimpinan ulama’ pada pandangan ulama’ adalah Presiden mestilah ulama’. Presiden adalah termasuk Timbalan Presiden kerana Timbalan Presiden adalah Presiden ketika keuzuran Presiden. Agaknya, inilah yang bukan ulama’ tidak faham.


Kerusi nombor dua perlu diisi oleh bukan ulama’ kerana bimbang Pas akan dimonopoli oleh ulama’. Semenjak bila pula doktrin ini ada dalam Pas? Bagaimana pula kalau dikata begini, golongan bukan ulama’ sedang berusaha memonopoli Pas? Bolehkah diterima?


Saya fikir ada banyak udang yang sedang bersembunyi di sebalik batu. Bongkah ais memang nampak kecil dipermukaan laut. Kalau ini adalah buruk sangka, maka buruk sangka ini diperlukan pada ketika ini.


Apa kata, Pas meminda perlembagaannya dan menubuhkan sebuah lagi dewan setaraf dewan-dewan sedia ada. Namakan sahaja dewan itu Dewan Profesional. Dalam dewan itu, golongan profesional perlu membuktikan keprofesionalan mereka. Kalau ada yang bukan profesional ingin masuk dewan itu, namakan saja dewan itu Dewan Bukan Ulama’.


http://bongkarsauh.blogspot.com/


No comments: