Sunday, May 3, 2009

Tak Perlu Jadi Pembidas Profesional

Oleh : Zolkharnain Abidin

Sumber yang dipercayai memaklumkan bahawa Mustafa Ali, pelopor kepimpinan ulama’ dalam Pas telah menjelaskan maksud kepimpinan ulama’. Pertama, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Besut dan kedua, ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu.


Difahamkan bahawa Mustafa berkata, kepimpinan ulama’ yang digagaskannya antara lain bermaksud dua pemimpin tertinggi Pas hendaklah ulama’. Difahamkan juga kenyataannya itu disiarkan oleh Sinar Harian Terengganu.


Kalau semangat dan ruh kepimpinan ulama’ gagasan Mustafa ingin dipakai, maknanya jawatan Presdien dan Timbalan Presiden hendaklah dipegang oleh ulama’. Sama ada orang itu Abdul Hadi atau Nasharuddin atau sesiapa sahaja, itu bukan isunya.


Namun ketepikan sahaja kenyataan itu. Kenyataan Mustafa itu tiada tempat lagi sekarang. Kenyataan itu tidak mampu membentuk arus atau gelombang. Lagi pun Mustafa tidak penting lagi waktu ini, sama seperti ulama juga.


Mustafa hanya akan dicari apabila diperlukan untuk mengkisahkan mengenai sejarah perjuangan Pas sama seperti ulama’ juga akan dicari apabila Pas ingin menganjurkan solat hajat untuk mengalahkan Umno dalam pilihanraya.


Anda ada sapu tangan? Ya, sangat diperlukan apabila hingus meleleh atau air mata mengalir tetapi ditolak ketepi apabila badan segar-bugar. Seperti sapu tangan yang tidak pernah kecil hati, demikian saya yakin dengan Mustafa dan ulama’ di dalam Pas.


Inilah waktu yang sesuai untuk para ulama’ di dalam Pas diserang dan dibidas. Tidak perlu menjadi penyerang atau pembidas yang bagus, serang dan bidas saja, serangan dan bidasan itu pasti mengena kerana sasaran serangan dan bidasan itu adalah ulama’.

Bukan susah menyerang dan membidas ulama’. Mudah saja, begini caranya.

Pertama - Kalau kenyataan ulama’ dilaporkan oleh media arus perdana milik Umno, anda katakan begini;
- Ulama’ mencari publisiti murahan
- Ulama’ sudah menjadi alat musuh
- Ulama’ membawa jamaah masuk perangkap musuh
- Ulama’ sudah kena perangkap

Kedua – Kalau ulama’ bertemu dengan pemimpin parti lawan, anda katakan begini;
- Ulama’ itu gila pangkat
- Ulama’ itu nak bawa jamaah menyertai pakatan lawan
- Ulama’ itu kejar dunia
- Ulama’ itu idamkan jawatan menteri

Ketiga
– Kalau ulama’ mempertahankan Presiden dan Timbalan Presdien mesti ulama’, katakan begini;
- Ulama’ perasan dia bagus sangat?
- Ulama’ rasa parti ini untuk ulama’ saja?
- Parti lain tidak begitu pun
- Gerakan Islam dunia tidak begitu pun

Keempat
– Kalau ulama’ terkhilaf membuat sesuatu keputusan dan kenyataan, katakan begini;
- Ulama’ tidak tahu ilmu pengurusan
- Ulama’ tidak jauh bacaan politik
- Ulama’ mudah tertipu dengan gerak politik musuh
- Ulama’ cetek ilmu strategi politik
- Ulama’ tak baca buku ilmu perang bikinan Sun Tzu


Maksudnya, anda tidak perlu menjadi penyerang atau pembidas profesional untuk menyerang dan membidas ulama, penyerang dan pembidas amatur pun boleh.


Tapi ulama’ tak perlu bimbang, nak solat hajat, belah mulut, baca doa penutup muktamar, baca al-Quran bukan muktamar, kami akan cari tuan-tuan.


http://bongkarsauh.blogspot.com/



No comments: