Tuesday, June 9, 2009

Masa Depan Politik Husam

Alhamdulillah, Muktamar PAS ke 55 telah berakhir dengan jayanya dan merupakan penganjuran muktamar yang paling hebat setakat ini. Tetapi yang lebih utama, Allah telah menyelamatkan PAS daripada anasir-anasir yang bakal merosakkan PAS dan Kepimpinan Ulama PAS tetap terpelihara.

Pada pemilihan kali ini, Dato' Husam Musa telah tewas dalam percubaan pertamanya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PAS daripada penyandang jawatan tersebut YB Ust Nasharudin Mat Isa. Beliau hanya mendapat 281 undi berbanding Ust Nasharudin yang berjaya mendapat 480 undi. Manakala Sdr Mohamad Sabu mendapat 261 undi. Sebaik sahaja diumumkan tewas, Husam kelihatan tidak dapat mengawal emosi apabila cuba untuk turun daripada pentas utama selepas bersalaman dengan Ust Nasharudin. Nasib baik Dato' Mustafa Ali yang berada di situ bertindak cepat untuk melarangnya berbuat demikian.

Hakikatnya Husam dan pengikutnya tidak dapat menerima kekalahan tersebut walaupun beliau dan pengikutnya berusaha untuk berlakon yang mereka menerima dengan hati yang terbuka.
Mereka tidak menjangkakan yang Husam akan kalah sebegitu teruk. Menurut jentera kempen Husam yang dibayar dengan agak lumayan, 'head count' yang dibuat ke atas setiap perwakilan seluruh negara menunjukkan yang beliau akan memperolehi sekurang-kurangnya 470 undi. Lebih-lebih lagi setelah mereka berjaya di saat-saat akhir memperdaya Tok Guru Nik Aziz untuk menandatangani satu surat yang mengesahkan bahawa Tok Guru akan mengundi Husam keesokan harinya. Habis dijaja kepada perwakilan "atas pagar" bahawa tok Guru akan mengundi Husam. Namun usaha tersebut sia-sia. Husam kalah jua.

Walaupun Husam cuba menutup kekecewaannya dan cuba berlakon yang beliau menerima dengan hati yang terbuka, tetapi hakikatnya Husam bukanlah pelakon yang hebat. Ini dapat dilihat apabila beliau dengan nada kecewa terus menyalahkan pimpinan PAS yang tidak memahami beliau sebagai punca kekalahannya.

Untuk menyedapkan hati masing-masing, pengikut-pengikutnya membuat andaian bahawa Ust Nasharudin sebenarnya ditolak oleh majoriti perwakilan apabila hanya mendapat lebih kurang 46% undi sahaja daripada jumlah keseluruhan perwakilan. Manakala selebihnya 54% daripada perwakilan adalah menentang beliau (apabila dicampur undi yang diperolehi oleh Husam dengan Mohamad Sabu). Tetapi itu adalah andaian kosong untuk menyedapkan hati semata-mata.

Kalaupun hanya berlaku pertembungan satu lawan satu antara Husam dengan Ust Nasharudin, belum tentu 261 undi yang diperolehi oleh Mohamad Sabu akan pergi kepada Husam sepenuhnya. Mungkin juga kesemuanya akan pergi kepada Ust Nasharudin. Atau mungkin juga separuh daripadanya akan mengundi Ust Nasharudin. Siapa yang tahu? Tidak ada siapa yang tahu. Itu hanyalah andaian dan analisis dangkal pengikut-pengikut fanatik Husam Musa yang tidak bersekolah. Hakikatnya, Ust Nasharudin menang dan Husam kalah. Ya, Husam kalah teruk. Ya, kepimpinan Husam ditolak oleh majoriti perwakilan yang bermuktamar. Belajarlah untuk menerima kenyataan walaupun pahit.

Namun yang jelas kelihatan, mereka sukar menerima kenyataan. Di sebelah malamnya berhimpunlah golongan yang gah di gelar Erdogan ini di satu Restoran di Shah Alam untuk membincangkan masa depan politik ketua mereka yang telah tewas. Secara syura mereka bersetuju untuk mendesak dan memberi tekanan kepada Presiden untuk melantik semula Husam dan Mohamad Sabu ke dalam Dewan Harian. Sekurang-kurangnya Husam mestilah dilantik sebagai Bendahari dan Mohamad Sabu sebagai Ketua Penerangan. Mereka akan cuba mengugut bahawa Husam tidak akan terima apa-apa jawatan kalau setakat menjadi AJK biasa sahaja.

Begitulah langkah-langkah golongan terdesak untuk menyelamatkan ketua mereka yang telah tersungkur di medan perang dan terkulai layu. Mengharapkan sisa-sisa ihsan Presiden untuk menerimanya kembali walau ditolak oleh majoriti perwakilan.Kasihan Husam.

Kalau dalam UMNO, Shahrir Samad bila tewas terus meletakkan jawatan sebagai Menteri bagi menunjukkan sikap gentlemannya setelah ditolak oleh perwakilan UMNO. Kalau dalam PAS, sanggupkah Husam menunjukkan sikap gentlemannya dengan meletakkan jawatan EXCO Kelantan setelah ditolak oleh perwakilan? Jawapannya sudah tentu tidak. Kerana Husam bukan Shahrir Samad, Husam bukan gentleman, Husam tidak ada maruah diri. Mana mungkin Husam akan meletakkan jawatan EXCO Kelantannya, sedangkan jawatan dalam Dewan Harian dan AJK Pusat pun beliau terkial-kial merayu budak suruhannya seperti Mahfuz Omar meminta bagi pihaknya.

Kasihan Husam...ditolak oleh perwakilan dalam Muktamar PAS tetapi gila talak untuk kembali memimpin PAS. Bagaimanakah masa depan politik Husam? Jawapannya hanya ada pada Allah SWT untuk menentukan nasibnya.

Yang pentingnya...PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI


.

1 comment:

Anonymous said...

aku teringat ketika muktamar sebaik kekalahan teruk PAS pada PRU 2004 dahulu. Ketika itu perwakilan pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat meminta Tok Guru bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk PAS ketika itu sejajar dengan langkah yang turut dibuat oleh Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.
Bagaimana jawapan Ketua Dewan Ulamak ketika itu, Ust Harun Taib. Anda leh cari jawapan Ust Harun Taib tu sendiri