Thursday, April 30, 2009

Kerana Arah Tuju Atau Apa?

Oleh : Zolkharnain Abidin


Husam ragu mengenai wujudnya hubungan sulit Pas – Umno. Hubungan sulit yang dikatakan dijalin oleh Nasharudin Md Isa, turut akan mengganggu arah tuju Pas dalam PRU ke 13. Jika ini berlaku, Husam bersedia bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam muktamar akan datang.


Menurut Nasharudin pula, dia hanya menjalankan amanah kepimpinan apabila melakukan perbincangan dengan Umno. Maksudnya perbincangan itu berjalan dengan restu pimpinan Pas bukan tindakan dirinya secara individu atau atas kapasiti jawatannya dan mengenepikan Pas.

Maksudnya Husam meragui Nasharudin. Keraguan itu bakal mendorongnya untuk mencabar penyandang Timbalan Presiden itu. Bagi Husam, Nasharudin menjadikan arah tuju Pas tidak jelas.


Betulkah Pas ada masalah arah tuju untuk menghadapi PRU 13?


Saya fikir Pas tiada masalah dalam arah tuju. Jelas, iaitu kukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Menyertai PRU 13 atas nama Pakatan Rakyat dan jika dimandati rakyat, memerintah negara ini atas nama Pakatan Rakyat juga.


Adakah Nasharudin nak bawa Pas masuk BN dan mengkhianati Pakatan Rakyat?


Sehingga kini, sepanjang yang diketahui tiada gerakan tersusun untuk Pas ‘curang’ terhadap Pakatan Rakyat. Atau, ringkasnya menyertai BN. Kalau ada tindakan yang dilihat berlainan daripada semangat Pakatan Rakyat, itu adalah terpencil dan tidak mampu membentuk gelombang pun untuk tujuan itu. Ahli Pas yang paling cabuk yang tinggal di hulu banat sekali pun tidak bersedia Pas menyertai BN.


Takkanlah Nasharudin senaif itu untuk memahami hasrat, rasa hati, semangat dan inspirasi ahli serta penyokong Pas. Lantas, dia bertindak di luar daripada itu semua. Bersedia pula berhadapan dengan tohmahan dan fitnah ahli Pas kepadanya sebagai ‘penghancur hala tuju Pas’.


Bagi saya, Pas tiada masalah dalam arah tuju seperti yang dibimbangi Husam itu.


Kalau begitu mengapa Husam membangkitkan soal arah tuju ini? Dan menjadikan lencongan arah tuju itu sebagai alasan untuk menentang Nasharuddin. Atau pun, arah tuju versi Husam itu adalah berlainan daripada apa yang saya fahami? Kalau berlainan, apa?


Saya bukan berhasrat membantah Husam. Ya, siapalah saya untuk membantahnya. Bukan juga untuk membela Nasharuddin, saya bukan ada kepentingan apa-apa dengannya. Tetapi, saya bangkitkan persoalan ini kerana, Husam seolah-olah menggambarkan Pas berada dalam keadaan yang parah, mungkin separah Umno.


Parahnya sehingga Pas hilang arah tuju untuk menghadapi PRU 13. PRU 13 pula digambarkan akan diadakan dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.


Maksudnya, kita sekarang berada dalam keadaan yang sangat genting. Kalau tidak bertindak cepat kita akan kecundang. Dan arah tuju itu boleh diperbetulkan balik hanya dengan menumbangkan Timbalan Presiden yang ada. Wah, ini sudah berat!


Husam tak perlu bimbang dengan arah tuju Pas. Husam jangan menyangka hanya dia seorang sahaja yang sayangkan Pas dan berusaha memastikan Pas tidak hilang arah tuju. Sebagaimana Husam, orang lain juga sayangkan Pas.


Sayangkan Pas adalah betul tapi harap-harap tidaklah seperti tikus sayangkan labu.


http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments: