Monday, April 27, 2009

Kalau Mohamad, Husam Adalah Ulama’ Saya Setuju


Oleh : Zolkharnain Abidin

Daripada beberapa sumber, Mohamad (Sabu adalah ayahnya) dan Husam dicalonkan untuk jawatan Tim Presiden Pas. Jawatan itu kini disandang oleh Nasharudin. Dia pernah dicabar Harun Taib, tetapi masih mampu kekal di situ.


Belum pasti samada akan wujud pertandingan atau tidak, namun adanya pencalonan pun sudah cukup untuk memanaskan hawa politik dalaman Pas. Panas itu makin membahang apabila dikaitkan dengan klik-klik tertentu, Erdogan dan Muqabalah. Samada klik itu wujud atau tidak, itulah yang dibualkan.

Samada Mohamad atau Husam, mereka berdua tidak dikenali sebagai ulama’. Walau pun mereka pernah menetap di negara Arab untuk tempoh tertentu dan belajar bahasa itu, namun menguasai bahasa itu bukan bermakna mereka ulama’. Status ulama’ mempunyai kriteria tersendiri.


Dalam keadaan saya memahami semangat kepimpinan ulama’ di dalam Pas yang membawa maksud ‘kepimpinan institusi ulama’, tidak dapat disangkal dengan mudah bahawa ‘kepimpinan institusi ulama’ itu perlu ditunjangi individu bertitle ulama’.


Institusi ulama’ merujuk kepada Majlis Syura ulama’ namun kedudukan ulama’ sebagai Presiden dan Timbalan Presiden di dalam parti adalah sangat perlu untuk menterjemahkan makna kepimpinan ulama’ itu.


Timbalan Presiden adalah Presiden ketika ketiadaan Presiden. Sebagaimana Presiden perlu seorang ulama’ maka Timbalan Presiden juga hendaklah ulama’. Kedua-dua jawatan tertinggi itu perlu dipegang oleh ulama’ untuk menterjemahkan makna kepimpinan ulama’ secara amali. Samada tempat itu diduduki oleh Abdul Hadi atau Nasharudin, itu bukan isunya. Isunya ialah tempat itu hendaklah diduduki oleh ulama’.


Kalau kedua-dua jawatan utama itu tidak dipegang ulama’, dimana makna kepimpinan ulama’?


Saya bukan anti Mohamad dan Husam. Saya tahu kebolehan mereka dan jasa mereka kepada parti. Kerana itu, saya setuju mereka menduduki kerusi itu sekiranya mereka adalah ulama’.


http://bongkarsauh.blogspot.com/


No comments: