Friday, April 24, 2009

Calon Nik Aziz sebagai Presiden satu penghinaan kepada beliau

Oleh : HermanSamsudeen

Keghairahan segelintir pihak yang terpengaruh dengan dakyah media dan cakap-cakap kumpulan minoriti telah menyebabkan suasana Mesyuarat Agung Pas di sekitar wilayah persekutuan menjadi hingar-bingar. Sama ada mereka tahu tentang perlembagaan atau tidak, boleh dilihat dari keputusan pencalonan yang dibuat bagi jawatan tertinggi Parti.


Bukan ingin merendahkan pandangan mereka, tetapi sekadar ingin menegur. Mungkin mereka tidak sedar bahawa dalam hierarki kepimpimpinan Parti, Mursyidul Am adalah jawatan tertinggi dan menjadi ketua bagi Parti Islam Semalaysia bukannya Presiden.


Presiden adalah ketua Eksekutif bagi pelaksana dasar yang diputuskan oleh Majlis Syura dan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat.


Dalam hierarki kepimpinan, Presiden adalah jawatan peringkat kedua selepas Majlis Syura yang diketuai oleh Mursyidul Am.


Secara langsung tindakan Presiden dipantau oleh Majlis Syura.


Meletakkan Tok Guru Nik Aziz yang kini sebagai Ketua Majlis Syura untuk bertanding jawatan Presiden dilihat sebagai satu penghinaan kepada beliau dan satu cubaan untuk merendahkan kredibiliti beliau sebagai Ketua Majlis Syura.


Sewajarnya pimpinan yang sudah duduk dijawatan yang paling tinggi tidak boleh diturunkan melainkan beliau mempunyai masalah kepimpinan.


Isu Pro-Muzakarah dan Pro-Pakatan baru-baru ini timbul dan menyebabkan ahli jadi keliru. Presiden Pas, Tok Guru Haji Hadi Awang dijadikan sasaran selepas beberapa idea penambahbaikkan beliau ditentang secara membuta tuli oleh segelintir pihak yang bertindak mengikut kata hati bukannya akal. Luahan pandangan Presiden itu mahukan maklumbalas oleh ahli dan perbincangan yang meluas bukannya perlu dianggap sebagai keputusan beliau.


Malah baru-baru ini beliau dengan beraninya menarik semula cadangan Kerajaan Perpaduan setelah melihat ahli gagal menyambutnya untuk diperbincangkan secara ilmiah.


Ini sekaligus memberikan imej buruk kepada Pas kerana ahli-ahli dilihat seolah-olah bertindak membuta tuli bukannya dengan akal kerana apa sahaja pandangan yang diberikan terus dibantah tanpa adanya ruang untuk berdiskusi secara ilmiah.


Roh Pembangkang begitu tebal dalam diri segelintir ahli hingga menutup hati mereka untuk mendengar pandangan pimpinan. Bukan setakat BN sahaja dibangkang, pandangan murni pimpinan pun dibangkang. Jika kita enggan dengar dan bincang pandangan pimpinan, siapa lagi yang kita hendak dengar?


Jika hari ini kita tolak pandangan Hadi, esok lusa, Presiden lain naik dia juga akan tersiksa kerana sikap ahli yang tidak mahu berfikir dan menelaah ilmu sebelum membuat keputusan atau pandangan terhadap apa yang pimpinan luahkan.


Akibatnya, kedudukan Tok Guru Nik Aziz pula jadi sasaran seolah-olah beliau tidak sesuai jadi Mursyidul Am hingga perlu ditukar jadi Presiden bagi mengantikan Tok Guru Haji Hadi. Nampaknya ahli yang membuat keputusan pencalonan itu mempunyai masalah besar iaitu tidak memahami struktur kepimpinan dan keutamaan parti.


Ana juga difahamkan bahawa kawasan yang mencalonkan Tok Guru ini juga baru sahaja Bermesyuarat Agung setelah lebih 10 tahun tidak mengadakan mesyuarat agung. Tiba-tiba mereka muncul dan cuba buat havoc dalam parti.


Ya! walaupun baru, tapi tindakan luar biasa mereka itu mengemparkan ramai pihak. Adakah itu yang mereka mahu. Menarik perhatian orang lain terhadap suara minoriti mereka dengan membuat pencalonan yang luar biasa yang bagi ana sesuatu yang biadap kepada Mursyidul Am!


Kalau pun tak suka Presiden sekarang, calonkanlah orang lain bukannya pimpinan nombor satu parti untuk rebut jawatan nombor dua dalam Parti.


Mereka telah downgrade Tok Guru Nik Aziz dan sepatutnya mereka sedar perkara ini. Jika perkara sebegini dibiarkan, tak mustahil suatu hari nanti akan wujud pula kumpulan yang mencalonkan Presiden dari kalangan Calon Muslimat pula.


Nampaknya parti ini akan jadi haru biru jika kumpulan minoriti ini terus menerus dibiarkan memainkan peranan. Tapi ana yakin, cadangan mereka itu tidak akan diterima oleh Perwakilan lain. Itu gempak sahaja. Setakat ingin meriuhkan suasana Muktamar yang semakin riuh ini.


Herman
-"Ini adalah pandangan peribadi ana dan tiada kena mengena dengan Pemuda Pas Wilayah".

http://dppwp.wordpress.com/2009/04/24/calon-nik-aziz-sebagai-presiden-satu-penghinaan-kepada-beliau/

No comments: