Thursday, April 23, 2009

PAS Mula Mencari Kepimpinan Baru

Oleh : muhaimin sulam

1. Pemilihan Barisan Kepimpinan UMNO sudah berlalu. Biar apapun kritikan terhadap proses pemilihan dan barisan kepimpinan baru UMNO, parti itu akan bernafas lebih semangat. Agenda perjuangan parti telah dinilai kembali, strategi baru akan dibentuk dan kesan politik kepimpinan baru itu akan dapat dinilai setahun dua akan datang. Tiga pilihanraya kecil yang lepas tidak boleh dianggap kayu ukur kepimpinan baru. Jika hendak digunakan, ia hanya untuk menyedapkan hati penyokong Pakatan Rakyat sahaja.

2. Kini, proses pemilihan Barisan Kepimpinan PAS sudah bermula di peringkat akar umbi. Mesyuarat cawangan-cawangan mungkin hampir selesai dan sudah ke peringkat mesyuarat kawasan.

3. Kayu ukur pemilihan kepimpinan PAS adalah mudah. Setakat ini, penggunaan politik wang tidak popular tetapi kemungkinan itu akan wujud jika tidak dibendung. Kayu ukur yang biasa digunakan oleh ahli PAS memilih pemimpin adalah kebolehan pidato, kekerapan keluar di Harakah, ada title tertentu dan ada kedudukan YB. Soal kebolehan memimpin organisasi dan bekerja secara berjamaah tidak begitu diambil perhatian sangat.

4. Isu utama pemilihan kepimpinan PAS kali ini adalah soal pembentukan kerajaan perpaduan akan digunakan untuk meraih dan menolak sokongan. Sudah ada pemisah dalam memahami idea pembentukan kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden PAS. Idea itu sebenarnya bukanlah suatu yang utopia tetapi ada kalangan tertentu (banyak) naif dalam memahami keperluan dalam membentuk sebuah pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya yang menuju keredhaan Allah [Fasal 5 (1)].

5. Ramai kepimpinan PAS masih di dalam kerangka politik UMNO yang menganggap kuasa politik adalah perkongsian kuasa sesama pakatan politik. Sudah sampai waktunya, usaha meletakkan kuasa politik sebagai tanggungjawab politik awam. Oleh itu, pendidikan politik kepada rakyat bukan dengan cara membakar emosi, menenggelamkan rasionaliti dan mentafsir al Quran dan Sunnah secara umum dan bersifat hukum semata.

6. Sokongan yang mula meningkat pada PAS telah menjadikan parti itu dikongsi oleh ramai pihak sehingga kepada peringkat dalam pemilihan kepimpinan parti. Orang baru yang setahun jagung sokong PAS sudah bijak memberikan pandangan siapa yang perlu memimpin PAS dan siapa pemimpin PAS yang perlu ditukar. Sehingga ke peringkat Presiden PAS sekarang perlu disingkirkan kerana alasan tidak memenuhi aspirasi nasional. Apatah lagi dalam jawatan Timbalan, Naib dan AJK. Ketua Pemuda, Muslimat dan Ulama tidak terkecuali. Dalam semangat demokrasi dan Islam, rebut merebut untuk mengejar kebajikan tidak masalah.

7. Ahli PAS perlu bijak memilih dan berhati membuat keputusan. Jangan bermentaliti JKKK yang mengikut arus. Arus yang datang sebulan dua nanti cukup mencabar. Fitnah bersulamkan inti al Quran dan rasional yang kuat. Hujah digandingkan dengan rekaan cerita yang menarik. Ia seperti sebuah novel.


http://muhaiminsulam.blogspot.com/2009/04/pas-mula-mencari-kepimpinan-baru.html

No comments: