Saturday, April 25, 2009

Ada Usaha Nak Damagekan Abdul Hadi

Oleh : Mohd Sayuti Omar


APAKAH angin perubahan kepimpian dalam Umno akan turut berjangkit kepada Pas? Apakah muktamar Pas pada bulan Jun nanti akan panas? Inilah garuan yang bermain dalam minda. Mesyuarat Pas kawasan sudah bermula dan akan menjadi rancak minggu depan. Mesyuarat kawasan akan membuat pencalonan mana-mana tokoh yang layak untuk bertanding apa-apa jawatan dari ahli jawatankuasa agung hinggalah ke presiden.

Sekiranya angin perubahan kepimpinan dalam Umno terbawa keluar, tentu muktamar Pas akan menjadi panas. Kalau pun tidak seriuh pemilihan Umno namun ia sudah tentu menjadi bahan ikutan dan pemerhatian umum.

Pelan perubahan tidak terdengar dalam Pas. Walaupun ada orang tertentu cuba membengkitkan tetapi tidak menjadi, kurang mendapat sambutan. Suatu waktu dulu ada cadangan agar Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menjadi Musyidul Am Pas mengganti Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pelan ini sebagai helah untuk mengeluarkan Abdul Hadi dari kuasa eksukutif Pas. Bolehlah dikatakan pelan berubah secara senyap.

Ada pihak yang merasa Abdul Hadi menjadi penghalang kepada cita-cita mereka untuk membawa Pas lebih maju dan serasi dengan selera politik semasa. Abdul Hadi dilihat sebagai begitu kejap pegangannya kepada prinsip dan dasar Islam sejati serta tidak pandai berpolitiking. Pegangan dan keyakinan ampuh Abdul Hadi kepada Islam dilihat sebagai penganggu kepada cita-cita politik matlamat menghalalkan cara.

Cadangan itu bagaimana pun tidak menjadi. Program untuk menjejaki Abdul Hadi yang ketika itu berada di Jakarta tidak kesampaian. Manakala mereka juga tidak tergamak untuk ‘menasihat’ Mursyidul Am Pas supaya meminta Abdul Hadi mengambil tempatnya selaku Mursyidul Am secara terhormat. Gerakan ini jelas menunjukkan ada usaha untuk menyingkir Abdul Hadi.

Tetapi dipercayai ada usaha secara halus dan seni agar Nik Aziz terus melaksanakan apa yang diinginkan itu. Di bawah sedarnya beliau dipengaruhi menyebabkan ada kalanya Nik Aziz seakan tersasau menyebabkan timbul suasana tidak kondusif beliau dengan presiden.Percanggahan pendapat serta penyentuhan bidang kuasa presiden berlaku secara terbuka. Namun atas kerendahan diri dan penghormatan Abdul Hadi yang tinggi kepada Nik Abdul Aziz di mana sanggup berdepan akhirnya kekeliruan yang dicipta itu dapat diatasi.

Buat masa ini kedudukan Abdul Hadi sebagai presiden masih selamat. Tidak ada kedengaran ianya dicabar. Walaupun ada cadangan untuk merempuh Abdul Hadi namun tidak ada tokoh ataupun calon yang sepadan untuk dihadapkan dengan Abdul Hadi. Persiapan ke arah itu juga tidak berjaya disiapkan dalam masa setahun dua ini.

Orang yang sedang menempah baju presiden dan rancak membaca buku-buku pengurusan parti dan kerajaan kini juga tidak berani untuk berhadapan dengan Abdul Hadi. Watak orang sufi yang ditunjukkan dengan tasbeh ditangan dan membaca Quran di mana saja termasuk di dewan mesyuarat tidak berkeupayaan untuk menandingi pengalaman dan ketinggian ilmu agama serta zuhud Abdul Hadi.

Bagaimana pun sedikit sebanyak orang ini telah menunjukkan dia lebih hebat daripada presiden. Beberapa kali beliau telah melangkaui pemikiran Abdul Hadi dalam membuat analisa dan predition sebagai signal dan sekaligus dia lebih ke depan dan pintar berbanding Abdul Hadi Awang. Sudah beberapa kali signal itu dihantar, sayangnya ditafsirkan oleh ahli Pas sebagai ianya satu perbuatan biadap, tidak menghormati presiden di mana akhirnya orang ini dilihat bernafsu besar dan parasit dalam Pas.

Dalam jemaah Pas ahli diasuh supaya bersikap berlapang dada, tawaduk, akur kepada keputusan jemaah dan berfikir secara kolektif. Sesiapa yang cuba membawa budaya baru atau politik sekular kering akan dilihat sebagai gelojah dan tidak memiliki syaksiah Islam yang baik. Apa lagi kalau berlagak dan menunjuk pandai di dalam media di samping mengamalkan politik lempar batu sembunyi tangan dan tidak bertanggungjawab dengan amanah.

Seperti dikatakan tadi, setakat ini Abdul Hadi selamat, tidak ada siapa yang layak untuk diharap mencabarnya. Pun begitu ia tidak boleh dianggap sebagai satu yang muktamad. Politik boleh berubah dan boleh berkembang dalam sedikit masa saja. Tumbesar politik macamlah perkembangan bakteria.

Ulasan Nik Abdul Aziz mengenai pertandingan dalam muktamar yang berbeza-beza dan tidak konsisten membimbangkan. Pada satu masa beliau menyarankan agar pemilihan elok kalau dibuat secara syura. Manakala ketika diminta mengulas mengenai pemilihan dalam Pas kini beliau bercakap atas nada lain pula. Sambil memberi ingatan supaya perwakilan memilih calon yang baik, beliau dilaporkan ada berkata, perlawanan boleh berlaku di semua peringkat termasuk presiden.

Apakah muslihat beliau melafazkan kata-kata berkenaan? Apa ini ada hubungan dengan usaha untuk melagakan Mursyidul Am Pas itu dengan Presiden Pas? Apakah beliau sudah disuntik dengan kemungkinan-kemungkinan dan keperluan itu. Atau beliau sendiri sudah diasak supaya mencabar Abdul Hadi untuk jawatan presiden?

Sudah ada terbetuk pola pemikiran demikian dalam sesetengah ahli Pas yang teruja dengan gaya politik kelompok berkenaan. Saya yakin perkara ini ditanamkan oleh orang yang tidak suka kepada Abdul Hadi Awang. Misalnya salah seorang pemimpin di sebuah kawasan di Kelantan ada melontarkan untuk mencalonkan Nik Aziz sebagai calon presiden Pas pada muktamar kawasannya?

Pemimpin ini tidak akan terbuka akal fikirnya kalau beliau tidak disuntik dengan ubat pelali. Dia tidak tahu merancang politik masa depan sejauh itu melainkan ianya terlebih dahulu dituba dengan cacair kebencian kepada presiden Pas oleh orang yang bermaksud ingin menjadi presiden.

Hendaknya idea ini tidak menetas dan tidak akan melarat. Tok Guru Nik Aziz juga hendaklah mengawal diri dan perasaan agar tidak tertelan dengan idea ini. Saya kira Nik Aziz tidak tergamak untuk berbuat demikian. Adapun idea untuk mengadukan Nik Aziz dengan Abdul Hadi itu adalah sebahagian tektik bagi menjelaskan kepada dunia bahawa Abdul Hadi tidak sesuai dan layak untuk terus berada di kerusinya itu. Itu saja.

Sekarang ini proses untuk damage dan merendahkan Abdul Hadi sebagai presiden akan terus dijalankan dengan berbagai cara. Secara sedar atau tidak sedar, acara memsebotaj pemikiran Abdul Hadi juga sedang berlaku dan dilakukan dengan penuh kesenian oleh golongan anti “ulamarisme”. Sebab itu apa-apa gagasan politik yang diilham Abdul Hadi disepikan begitu saja.


http://www.msomelayu.blogspot.com/



No comments: